no comments

“Zeti Tahu Pasal RM2.6 Bilion, Tapi Membisu” – Najib

“Tan Sri Zeti Akhtar Aziz ketika menjadi gabenor Bank Negara sedar dan tahu mengenai transaksi RM2.6 bilion ke dalam akaun saya sebelum PRU 2013, tetapi tidak mempersoalkan perkara itu,” dedah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Jika Bank Negara tahu tentang dana ini, dan mereka ada bayangan atau pengetahuan bahawa mungkin akan ada keraguan tentang sumbernya, mereka patut beritahu saya.”

“Tetapi ia tidak berlaku. Jadi saya menyangka ia tiada masalah,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama Malaysiakini minggu lalu.

Ditanya sekali lagi sama ada Zeti tidak membangkitkan sebarang amaran, Najib menjawab: “Tidak, tiada maklum balas daripada Bank Negara. Saya sangka semuanya baik.”

Najib sekali lagi menyatakan wang berjumlah AS$681 juta (biasanya dirujuk sebagai RM2.6 bilion) adalah derma daripada anggota keluarga diraja Arab Saudi.

Beliau juga menegaskan telah mengembalikan AS$620 juta daripada wang itu kepada pendermanya selepas PRU.

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) dalam saman sivilnya mendakwa wang tersebut berasal daripada 1MDB.

Zeti, yang bersara pada 2016 selepas 16 tahun menjadi gabenor Bank Negara, kini merupakan anggota Majlis Penasihat Kerajaan yang ditubuhkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Minggu lalu, beliau dilantik menjadi pengerusi kumpulan Permodalan Nasional berhad (PNB) menggantikan Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Terdahulu, bekas pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Datuk Puad Zarkashi pernah menyuarakan dakwaan sama – bahawa Zeti tahu akan wang RM2.6 bilion itu – dalam satu pertemuan dengan pelajar Malaysia di Australia pada 2016.

Puad berkata pemimpin Umno telah bertemu Najib ketika skandal itu mula meletus pada 2015.  “Najib ketika itu mengaku menerima wang tersebut dan mendakwa telah berbincang mengenainya dengan Zeti, malah Bank Negara memberi kebenaran untuk wang tersebut dibawa masuk.” katanya.

Beliau berkata Najib turut memiliki dokumen kelulusan daripada Bank Negara. Setakat ini, Zeti tidak mengulas dakwaan Najib dan Puad itu.

Zeti merupakan anggota jawatankuasa kerja yang diketuai bekas peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail yang menyiasat wang RM2.6 bilion dan RM42 juta dalam akaun peribadi Najib.

Pasukan Petugas Khas 1MDB menerusi satu kenyataan dikeluarkan hari ini berkata, sebanyak 408 akaun bank membabitkan dana RM1.1 bilion telah dibekukan.

Pembekuan itu dilakukan pada 26 dan 29 Jun lalu membabitkan akaun milik individu, parti politik serta badan bukan kerajaan (NGO). Katanya, akaun yang dibekukan turut membabitkan 81 individu serta 55 syarikat yang dipercayai menerima dana daripada 1MDB.

“Akaun yang dibekukan dipercayai ada kaitan dengan penyelewengan dan salah guna dana 1MDB membabitkan kira-kira 900 transaksi yang dibuat antara Mac 2011 hingga September 2015.

“Buat masa ini, pasukan Petugas Khas 1MDB sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti tahap pembabitan pihak terbabit dalam menyeleweng dana syarikat pelaburan strategik kerajaan itu,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, siasatan dijalankan secara menyeluruh dengan berlaku adil kepada semua pihak yang terbabit dan berikutan itu, pihak yang disiasat diminta untuk memberi kerjasama sepenuhnya.

Pasukan Petugas Khas 1MDB juga tidak menolak kemungkinan akan ada lagi akaun yang bakal dibekukan selepas ini.

Reply