no comments

VIDEO: “Sila Duduk Dan Jangan Lari” – Agong

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, bagi Istiadat perasmian Dewan Rakyat diselitkan dengan pesanan spontan Baginda.

Sebelum menyampaikan ucapan pembukaan sidang baru parlimen di Kuala Lumpur hari ini baginda secara bersahaja bertitah mengingatkan semua Ahli Parlimen agar tetap berada di tempat masing-masing.

“Tuan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tuan Yang Dipertua Dewan Negara dan ahli-ahli yang berhormat sekelian.

Sila duduk dan jangan lari,” titah baginda dengan senyum lebar sebelum duduk mengambil tempat.

Titah bersahaja itu disambut dengan gelak tawa ahli-ahli parlimen yang berada dalam sidang berkenaan.

Sultan Muhammad V hari ini merasmikan istiadat pembukaan mesyuarat pertama penggal pertama Parlimen ke-14.

Baginda tiba di parlimen kira-kira jam 10 pagi dan disambut Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad serta timbalannya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Turut hadir isteri Dr Mahathir, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

Sultan Muhammad V juga disambut Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof.

 

Pesanan baginda itu merujuk kepada insiden anggota parlimen pembangkang yang meninggalkan sidang Dewan Rakyat semalam.

Sebelum tiba memasuki Dewan, Sultan Muhammad V diiringi ke Peterana Diraja, melintasi pasukan kawalan bertombak diikuti sembah ‘Hormat Diraja’ oleh pasukan Kawalan Kehormat Utama, Pancaragam Pusat Regimen Askar Melayu Diraja yang diketuai Mej Muhamad Nor Azizan Yahya.

Serentak itu, bendera peribadi Yang di-Pertuan Agong dikibarkan. Ia diikuti dengan tembakan meriam 21 das serentak dengan lagu kebangsaan ‘Negaraku’ dimainkan.

Sultan Muhammad V kemudian memeriksa pasukan Kawalan Kehormat Utama yang terdiri daripada 103 anggota dan empat pegawai daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja yang diketuai Ketua Kawalan Kehormatan Utama Mej Mohd Izham Ahmad Rashidi.

Reply