Ketika ditanya berhubung penggunaan bahasa Mandarin dalam kenyataan rasmi kerajaan, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan tindakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng hanyalah satu kesilapan kecil yang tidak disengajakan.
Malah Tun M tidak berhasrat menasihati Guan Eng atas kritikan yang timbul kerana beranggapan, semua orang pernah buat salah.
“Itu hanya kesilapan kecil, semua orang pernah buat salah, saya tidak mahu komen, kerana ia bukanlah isu.
“Lagipun memang patut ada kenyataan media dalam tiga bahasa, jadi bahasa Mandarin itu untuk audien Cina,” katanya ketika sidang media, hari ini.
Sementara itu, Mahathir menegaskan bahawa Guan Eng boleh terus mengeluarkan kenyataan media dalam pelbagai bahasa selagi beliau memegang jawatan Menteri Kewangan.
“Guan Eng boleh terbitkan kenyataan selagi beliau berkuasa.
“Mengenai bahasa Mandarin itu, beliau cuma tersilap bukannya sengaja,” ujar Tun lagi.
Semalam, Guan Eng menggunakan bahasa Mandarin dalam kenyataan rasmi Kementerian Kewangan mendapat kritikan pedas daripada pimpinan, mufti dan orang ramai kerana dianggap sebagai tidak mendaulatkan bahasa kebangsaan.
Terdahulu, Ketua Pemuda BERSATU, Syed Saddiq mahu semua pihak berbalik kepada undang-undang yang telah diluluskan oleh Parlimen berhubung penggunaan bahasa Melayu sebagai medium untuk kenyataan rasmi kerajaan.
Memetik Seksyen 2 Akta Bahasa Kebangsaan yang menyebut bahawa “Bahasa kebangsaan hendaklah digunakan bagi maksud rasmi” katanya, keutamaan juga perlu ditekankan kepada penggunaan bahasa kebangsaan untuk hebahan media buat kali pertama.
“Ini bermakna, ia telah pun dipersetujui bahawa Bahasa Malaysia perlu digunapakai untuk setiap urusan rasmi kerajaan termasuklah kenyataan-kenyataan rasmi atas kapasiti kerajaan.
“Ia juga selari dengan Perkara 152(1) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa bahasa Melayu hendaklah dijadikan bahasa kebangsaan.
“Saya juga percaya keperluan untuk menyelaras penggunaan bahasa bebangsaan dalam semua urusan rasmi kerajaan ini penting untuk memastikan tidak ada kekeliruan daripada pihak awam berkenaan apa-apa perkara yang diterbitkan oleh pihak Kerajaan Malaysia,” katanya.