no comments

Kerajaan PH Tetap Mahu Tommy Thomas Sebagai Peguam Negara

Biarpun tidak mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini menegaskan kerajaan tidak akan mengemukakan nama lain untuk mengisi jawatan peguam negara selain dari Tomy Thomas.

Kata Tun M, kerajaan percaya cadangan yang dikemukakan itu dibuat mengikut peruntukan undang-undang negara.

“Mengikut Perlembagaan Persekutuan Yang di-Pertuan Agong perlu bertindak (melantik peguam negara) berdasarkan nasihat perdana menteri.

“Jadi kita berpegang kepada prinsip itu,” katanya pada sidang media di Alor Setar, Kedah petang ini.

Beliau juga memberitahu usaha sedang dijalankan bagi mengatasi masalah berkenaan.

Justeru, kata Dr Mahathir “tidak ada manfaat” bagi beliau memberi penjelasan lanjut mengenainya.

Menggantikan peguam negara antara proses awal yang diambil kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) selepas berjaya membentuk kerajaan di peringkat pusat.

Penyandang sebelum ini – Tan Sri Mohamed Apandi Ali – menjadi satu daripada individu yang disasarkan dalam kempen HARAPAN menjelang pilihan raya umum lalu.

Apandi dianggap tidak sesuai meneruskan khidmatnya sebagai peguam negara ekoran pembabitan beliau secara langsung dalam siasatan skandal 1MDB.

Media melaporkan kerajaan mengemukakan nama Tommy bagi mengisi kekosongan jawatan peguam negara namun ia belum mendapat perkenan Agong.

Ditanya mengenai tanggapan sesetengah pihak bahawa Tommy tidak sesuai menjadi peguam negara ekoran hubungannya dengan Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Dr Mahathir berkata peguam itu juga pernah menjalankan tugas bagi ramai orang.

“Peguam-peguam (biasanya) mengambil kes yang memberi pendapatan kepada mereka,” katanya.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V dikatakan menolak cadangan nama Thomas sebagai Peguam Negara, adalah kerana individu itu bukan Melayu dan Islam.

Menurut portal The Malaysian Insight, Raja-Raja Melayu turut menyokong keputusan Yang di-Pertuan Agong untuk menolak cadangan nama tersebut.

“Difahamkan Raja-Raja Melayu yang lain juga menyokong pendirian Yang Di-Pertuan Agong. Mereka dikatakan bertegas seorang peguam negara hendaklah seorang Melayu dan beragama Islam.”

Reply