Tarif Gas Naik Sebanyak 77 SEN Bermula 1 Julai
Bermula bulan depan, setiap isi rumah di Malaysia perlu membayar tarif asas gas asli yang lebih tinggi selepas ia dinaikkan 77 sen kepada RM23.80 per satu juta unit termal British (MMBtu).
Menurut Gas Malaysia Berhad (Gas Malaysia), kenaikan itu berkuat kuasa mulai 1 Julai hingga 31 Disember 2018 dibuat selepas menerima kelulusan dari Suruhanjaya Tenaga.
“Purata tarif asas gas asli ditetapkan pada RM31.92 per MMBtu untuk tempoh Julai hingga Disember 2018 adalah sejajar dengan pengumuman Gas Malaysia pada 28 Disember 2016,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia di sini hari ini.
Kerajaan sebelum ini telah menetapkan rangka kerja peraturan berasaskan insentif (IBR) yang menetapkan tarif asas untuk tempoh pengawalseliaan tiga tahun mulai Januari 2017.
IBR membenarkan perubahan dalam kos gas yang akan melalui mekanisme kos gas untuk dilepaskan (GCPT) setiap enam bulan.
Jelas Gas Malaysia, di bawah mekanisme GCPT, bayaran tambahan 77 sen per MMBtu akan dilaksanakan untuk semua kategori disebabkan harga kos gas sebenar yang tinggi berbanding harga rujukan gas dalam tarif asas bagi tempoh tersebut.
“Ini bermakna tarif efektif purata pada RM32.69 per MMBtu,” katanya.
Pada masa ini, purata tarif asas ditetapkan pada RM30.90 per MMBtu.
Gas Malaysia berkata walaupun semakan semula tarif itu tidak memberi impak yang ketara kepada operasi perniagaannya, dijangka menyumbang secara positif kepada kedudukan kewangannya bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018.
Berikut adalah tarif efektif yang disemak semula selepas GCPT berdasarkan penggunaan tahunan:
– Pengguna kediaman akan membayar RM23.80 per MMBtu.
– Pelanggan bukan kediaman yang menggunakan sehingga 600 MMBtu setahun akan membayar kadar tarif sebanyak RM30.50 per MMBtu.
– Penggunaan antara 601-5,000 MMBtu: RM30.65 per MMBtu.
– Penggunaan antara 5,001-50,000 MMBtu: RM30.96 per MMBtu.
– Penggunaan antara 50,001-200,000 MMBtu: RM32.26 per MMBtu
– Penggunaan antara 200,001-750,000 MMBtu: RM32.26 per MMBtu.
– Penggunaan melebihi 750,000 MMBtu: RM33.32 per MMBtu.