no comments

“Inilah Bahayanya Bila Sistem Cukai Diubah Sesuka Hati” – Najib

Berikutan kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) selepas kadar cukai barangan dan perkhidmatan (GST) disifarkan awal bulan lalu, Datuk Seri Najib Razak menzahirkan rasa terkejut.

“Terkejut saya pagi ini apabila membaca kenyataan menteri Pakatan Harapan yang mengakui GST bukan sebab utama harga barang naik biarpun itulah modal dan tohmahan digunakan terhadap kerajaan sebelum pilihan raya.

“Pada masa itu, Pakatan Harapan tidak menerima jawapan kita malah mempersendakannya. Kini, Pakatan Harapan terpaksa menelan hakikat di sebalik tuduhan mereka sendiri,” katanya.

Najib berkata sedemikian susulan penurunan rendah harga barangan menyebabkan rakyat belum merasai sepenuhnya pelaksanaan GST berkadar sifar.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, harga barangan dilihat kekal kerana penurunan harga hanya bermula dari 0.04 hingga 13 peratus dan melibatkan 70 peratus daripada 417 barangan basah, kering, keperluan bayi dan lain-lain.

“Sebenarnya kenaikan tidak berlaku tetapi jumlah penurunan harga barangan itu sangat kecil, ia tidak mencapai 30 hingga 40 peratus.”

Saifuddin juga berkata harga makanan dan minuman turun di premis restoran makanan segera, namun tidak di restoran ‘mamak’, yang malah ada yang menaikkan harga.

Kira-kira 30 peratus daripada restoran ‘mamak’ didapati masih menaikkan harga makanan dan minuman walaupun GST sifar dikuatkuasakan dan hanya 70 peratus restoran ‘mamak’ sahaja yang menurunkan harga.

Beliau berkata kementerian memberi nasihat dan amaran sebelum tindakan undang-undang diambil.

Najib, dalam kenyataannya di Facebook hari ini, berkata; beliau bimbang apabila cukai jualan dan perkhidmatan (SST) diperkenalkan semula dan diperluas September nanti, harga barang akan naik lebih tinggi.

Ini, katanya, memandangkan harga barang tidak turun selepas GST disifarkan.

“Inilah bahaya apabila sistem cukai diubah sesuka hati dan BN pernah memberi amaran sebelum PRU14 mengenai ini,” katanya.

Beliau berharap harap kerajaan akan buat sesuatu untuk memastikan kebimbangan itu tidak menjadi kenyataan.

Terdahulu, bekas menteri Tan Sri Rais Yatim serta beberapa persatuan pengguna meminta kementeri mengulas mengenai aduan orang ramai iaitu tiada perubahan pada kebanyakan barangan walaupun selepas pelaksanaan GST pada kadar sifar.

Reply