no comments

Shamsiah Dilantik Sebagai Gabenor Baru Malaysia

Bekas Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus kembali ke Bank Negara Malaysia (BNM) selepas dilantik sebagai Gabenor baharu yang ke-9.

Perkara ini dilaporkan Bloomberg yang memetik wawancara bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Shamsiah bakal menggantikan bekas Gabenor, Tan Sri Muhammad Ibrahim yang meletakkan jawatan pada 6 Jun lalu.

Muhammad yang meninggalkan BNM hanya dua tahun memasuki kontrak lima tahunnya berkata, keputusan itu diambil antara lain, untuk melindungi imej dan reputasi bank pusat.

Jurucakap Kementerian Kewangan (MOF) berkata, satu kenyataan akan dikeluarkan sama ada oleh kementerian tersebut atau Pejabat Perdana Menteri dalam masa terdekat.

Shamsiah berkhidmat di BNM selama 30 tahun, sebelum meninggalkan bank pusat berkenaan pada 15 November 2016.

Semasa menyandang jawatan sebagai Timbalan Gabenor, beliau bertanggungjawab menyelia perbankan, insurans, risikan kewangan dan penguatkuasaan.

Selepas meninggalkkan BNM, Nor Shamsiah menyertai Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada April tahun lepas di mana beliau berpangkalan di Washington DC.

Di IMF beliau menyandang jawatan sebagai Penolong Pengarah Jabatan Monetari dan Pasaran Modal.

Beliau terlibat dalam siasatan terhadap syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan pelbagai langkah pengukuhan sistem kewangan negara, khasnya pasca krisis kewangan Asia 1997-1998.

Sementara itu, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata; pelantikan Shamsiah sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) adalah satu keputusan baik yang diambil kerajaan kerana ia mencerminkan penghormatan terhadap bank pusat itu sebagai sebuah institusi penting.

Bekas gabenor BNM itu berkata, pelantikan Nor Shamsiah menerajui bank pusat itu adalah sejajar dengan jangkaan pasaran untuk melihat institusi tersebut terus bebas dalam menjalankan fungsi-fungsinya.

Mengenai desas desus bahawa pelantikan Nor Shamsiah adalah untuk memulihkan semula siasatan terhadap 1Malaysia Development Bhd (1MDB) di bawah bank pusat itu, Zeti menegaskan pelantikan tersebut mencerminkan keupayaan Nor Shamsiah dalam kestabilan kewangan yang juga diiktiraf di peringkat antarabangsa.

“Datuk Shamsiah merupakan bekas Timbalan Gabenor semasa saya berkhidmat dengan BNM.

“Beliau tahu semuanya tentang perbankan pusat dan beliau akan memulakan kerja dengan segera,” kata Zeti.

Reply