no comments

Terbongkar! Boss Baru FELDA Dedahkan Tanah RM250 Juta Tergadai Ke Syarikat Asing!

Pengerusi Baharu FELDA, Tan Sri Shahrir Abdul Samad hari ini mendedahkan beberapa bidang tanah aset felda telah hilang tanpa pengetahuannya.

“Saya tidak faham bagaimana tanah milik FELDA boleh dipindah milik kepada syarikat lain. Saya hanya diberitahu tanah kita sudah ditukar milik apabila masuk ke sini (FELDA),”

Beliau yang mengakui agensi itu ‘kehilangan’ tiga bidang tanahnya bernilai lebih RM250 juta berkeluasan 6.57 hektar di Jalan Semarak, mahu mengambil tindakan undang-undang bagi mendapatkan kembali hak FELDA yang sudah bertukar tangan kepada pemaju Kuala Lumpur Vertical City (KLVC).

Katanya, keseluruhan kawasan milik FELDA itu bernilai lebih RM270 juta, namun hanya sebahagian kecil tanah dikenali SPA3 masih di bawah nama FELDA, manakala tiga SPA lain iaitu SPA1, SPA2 dan SPA4 bernilai keseluruhan lebih RM250 juta sudah bertukar tangan.

“Kita bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap pemaju KLVC dan Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan sebagai agensi yang meluluskan pindah milik tanah itu.

“Saya sendiri tidak tahu bagaimana nak uruskan perkara ini, apa yang kita mampu buat adalah cuba meletakkan Kaveat Persendirian, Februari lalu apabila dapat tahu hal ini berlaku untuk menghalang semua transaksi,” katanya dalam pertemuan eksklusif BeritaHarian.

Beliau mengesahkan tanah FELDA bertukar tangan apabila BH menunjukkan Catatan Carian Persendirian Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan bertarikh 1 November 2017.

Catatan itu menunjukkan nama pemilik bagi lot 390 atau dikenali SPA1 adalah milik sebuah syarikat yang ada kaitan dengan pemaju KLVC dan bukan lagi FELDA.

Shahrir juga pelik apabila usaha pihaknya meletakkan Kaveat Persendirian pada 28 Februari lalu ke atas tanah itu dihalang atas alasan FELDA tidak berhak, kerana pemaju memiliki semua dokumen sah untuk pendaftaran.

“Lembaga Pengarah FELDA terpaksa meminta bantuan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa selaku Pengerusi Majlis Mesyuarat Kerja Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk bantu meletakkan Kaveat Persendirian dan berjaya pada 14 April lalu,” katanya.

Kaveat Persendirian adalah kaveat yang dimasukkan oleh individu atau badan yang mempunyai kepentingan ke atas pemilikan hartanah bagi menyekat atau menghalang sebarang urus niaga tanah itu, termasuk dipindah milik dan hanya boleh ditarik balik menerusi perintah mahkamah.

Shahrir bongkar semalam, FELDA berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak di sini yang dianggarkan bernilai lebih RM200 juta apabila dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi diragui sejak 2015.

Tanah itu, dipercayai dibangunkan dengan projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) membabitkan tujuh menara, termasuk menara ikonik FELDA dikenali sebagai KLVC Tower1A.

Ditanya sama ada orang dalam terbabit dalam urus niaga itu, Shahrir berkata: “Jabatan Perdana Menteri (JPM) akan membuat audit, jadi soal kesilapan mana-mana pihak akan diketahui kelak, termasuk individu yang terbabit dalam meluluskan transaksi,” katanya.

Felda membuat laporan polis selepas kronologi penuh kes itu dibangkitkan oleh Jabatan Perdana Menteri dan peguam negara. Kemungkinan penipuan melibatkan pemaju induk untuk projek yang dibina atas tanahnya di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Susulan itu, Lembaga Pengarah Felda tidak lagi berminat untuk meneruskan pembinaan Kuala Lumpur Vertical City (KLVC), termasuk menara ikoniknya di Jalan Semarak dan beberapa menara lain yang dirancang pemaju di lokasi itu.

Keputusan itu dimuktamadkan pada 15 Jun lalu dan pihaknya bersetuju mengambil tindakan undang-undang terhadap pemaju bagi mendapatkan kembali tanah miliknya.

“Pandangan peribadi saya, tiada keperluan melaksanakan pembangunan secara besar-besaran seperti itu lebih-lebih lagi dalam keadaan lambakan pembangunan hartanah komersial sekarang.

“FELDA nak balik tanah itu, yang lain sama ada siapa jadi kontraktornya, berapa tinggi menara itu, apa nilainya, cerita pembangunan mereka, apa perancangan nak buat di situ… semua itu saya tak minat.

“Saya tak pernah dengar nama syarikat kontraktor ini, saya tak berminat pun menara 59 tingkat dengan nilai kontrak RM107 juta, kerana dalam keadaan pembangunan hartanah sekarang kenapa nak bangunkan secara besar-besaran.

“Kita lihat sudah ada Bukit Bintang City Centre (BBCC), Tun Razak Exchange (TRX), akan ada Menara KL118 milik Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan Bandar Malaysia. Jadi soal pembangunannya dah tak perlu, yang utama ia hak milik FELDA, maka pulangkan balik.”

Shahrir berkata, FELDA tidak lagi berminat membangunkan tanah itu kerana berpendapat cadangan pembangunan adalah berdasarkan rundingan antara pemaju dengan Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC).

Katanya, ia susulan timbul pelbagai persoalan mengenai rundingan itu, termasuk perjanjian pembangunan induk yang ditandatangani FIC, tetapi hanya memaklumkan kepada Lembaga Pengarah FELDA tiga bulan kemudian.

“Dalam laporan Lembaga Pengarah 16 Januari 2014, FIC memaklumkan syarikat pemaju itu berikan tawaran terbaik, tapi kami tidak jumpa rekod mana-mana pihak lain dijemput untuk membida, tender terbuka dibuat atau tawaran pihak lain.

 

BHarian Online

Reply