no comments

Saman Sivil: Polis Tunggu & Lihat Tindakan Najib

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata; pihaknya sedia maklum berhubung tindakan Datuk Seri Najib Razak yang mengemukakan saman sivil terhadap tiga penyiasat kanan yang mengendalikan siasatan terhadap syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Katanya, setakat ini, PDRM masih belum terima sebarang permohonan daripada pihak Najib yang mendakwa serbuan dan rampasan yang dilakukan JSJK itu kononnya tidak mengikut Prosedur Operasi Standart (SOP) yang ditetapkan.

Justeru,  Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan tunggu dan lihat susulan kenyataan bekas Perdana Menteri itu yang ingin menyaman Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK).

“Pada masa ini kami (PDRM) masih belum menerima sebarang permohonan rasmi daripada pihak Datuk Seri Najib berhubung tindakan saman yang dikemukakan dan saya tidak dapat untuk mengulas lebih lanjut tentang perkara ini.

“Apa yang penting, pihak kami ingin melihat apakah yang sebenarnya bentuk melanggar SOP seperti yang dinyatakan oleh Datuk Seri Najib,” katanya dalam sidang media sempena Mesyuarat Agung Koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad, hari ini.

Mohamad Fuzi berkata, pihak polis juga tidak ingin membuat sebarang komen balas terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh Najib sehingga siasatan yang dijalankan selesai.

“Dia (Najib) boleh cakap apa yang hendak dikatakannya dan kami hanya menunggu sebarang tindakan susulan serta permohonan rasmi berhubung isu pelanggaran SOP ini.

“Perkara ini adalah berkaitan dengan peruntukan undang-undang yang ditetapkan dan dia sendiri sudah mengemukakan saman, maka kita (PDRM) tunggu dan lihat sajalah,” katanya.

Selain Amar Singh, dua lagi penyiasat kanan kes 1MDB yang disaman oleh Najib adalah Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Shukri Abdull, dan Peguam Negara, Tommy Thomas.

Peguam Badrul Abdullah yang mewakili Najib mendakwa ketiga-tiga individu terbabit bertindak secara prejudis terhadap anak guamnya sepanjang tempoh siasatan.

Sementara itu, polis belum menerima permohonan daripada isteri bekas perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor bagi memulangkan barang kemas yang dirampas dari serbuan berhubung siasatan 1MDB.

IGP Mohamad Fuzi berkata, Rosmah mempunyai hak untuk memohon pihak berkuasa memulangkan barangan yang dirampas meskipun ia mungkin sukar kerana barangan itu diperlukan dalam siasatan.

“Ada prosedur perundangan yang dia kena ikut. Itu hak dia utk mohon, (tapi) barang-barang itu ada kaitan dengan siasatan.

“Saya mengikuti siasatan setiap hari dan setakat ini, tiada sebarang permohonan daripada Rosmah atau sesiapa (bagi memulangkan barang yang dirampas),” katanya.

Susulan itu, sebuah syarikat pemborong barang kemas di Lubnan dilaporkan memfailkan saman terhadap Rosmah Mansor bagi menuntut isteri bekas perdana menteri itu memulangkan kembali 44 barangan kemas yang dihantar kepadanya untuk dipilih atau membayar barang kemas berkenaan berjumlah US$14.79 juta (RM59.831 juta).

Global Royalty Trading SAL, yang berpangkalan di Beirut selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan David Gurupatham dan Koay di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur dengan menamakan isteri kepada Datuk Seri Najib Razak itu selaku defendan tunggal.

Reply

facebook KLIK PANGKAH 2 KALI UNTUK TUTUP Button Close