Ini Sebabnya.. Mengapa Ramai Yang Marah Mengundi Pada Hari Rabu!
Pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memilih Rabu sebagai hari mengundi bukanlah pertama kali dalam sejarah pilihan raya umum (PRU) di Malaysia.
9 Mei, tarikh untuk membuang undi, juga jatuh pada hari persekolahan.
Keputusan itu tidak diterima baik kebanyakan pemimpin pembangkang, aktivis dan rakyat jelata, walaupun undang-undang mewajibkan majikan membenarkan pekerja mengambil masa untuk mengundi.
Mereka mengatakan proses mengundi pertengahan minggu bermaksud mereka yang bekerja jauh dari tempat mereka mendaftar untuk mengundi akan mengalami kesukaran untuk kembali ke tempat kerja.
Sesetengah orang, seperti mereka yang bekerja di Lembah Klang tetapi mengundi di Terengganu, mungkin sukar untuk berulang-alik walaupun Rabu diisytiharkan sebagai cuti umum.
Selain itu, ia menjadi lebih teruk bagi penduduk Sarawak dan Sabah, yang sebahagian besarnya tidak boleh membuat perjalanan 1 hari untuk pulang ke kampung halaman dan membuang undi.
Ini bukan kali pertama hari pengundian diadakan pada hari bekerja. Pada 1994 dan 1999, hari pengundian diadakan pada Isnin.
Tetapi pengkritik berkata hari pengundian pada Rabu akan menjadikannya lebih sukar bagi orang ramai untuk membuat persiapan, kerana ia tersepit antara 2 hari berkerja dalam seminggu di kebanyakan negeri.
Sebaliknya, pengundian pada hari Isnin membolehkan pengundi bersedia pada hujung minggu.
Pemimpin Amanah Kelantan, Datuk Husam Musa berkata puluhan ribu orang Kelantan yang bekerja di Kuala Lumpur terpaksa meninggalkan sekurang-kurangnya 3 hari bekerja jika bercadang untuk balik mengundi.
“Mereka memerlukan 1 hari untuk pulang ke Kelantan, hari mengundi dan 1 hari lagi untuk kembali ke Kuala Lumpur,” kata Husam, yang partinya mengharapkan sokongan daripada diaspora Kelantan di kawasan bandar.
Beliau berkata menetapkan 9 Mei sebagai hari mengundi tidak selari dengan semangat Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
“Seksyen 25 (1) Akta menyatakan: Tiap-tiap majikan hendaklah, pada hari mengundi, membenarkan suatu tempoh yang munasabah bagi tiap-tiap pemilih yang bekerja dengannya mengundi.
“Cuti umum ‘3 hari’ adalah tempoh yang munasabah seperti kehendak akta ini,” katanya.
Bagi aktivis Syed Azmi Alhabshi, mengundi di pertengahan minggu akan mengganggu masa berkeluarga, yang menganggap hari membuang undi dan malam pilihan raya acara bersama.
“Saya tak faham dan tak tahu siapa yang buat keputusan ini, tapi saya rasa kasihan sebab tuan yang buat keputusan ini mestilah sama ada tiada keluarga, atau keluarga duduk sekali atau hanya tak kisah tentang keluarga atau memang tak kisah tentang keluarga,” katanya di Facebook.
Syed Azmi berkata walaupun perjalanan dari Muar atau Ipoh ke Kuala Lumpur mengambil masa antara 2 dan 3 jam di jalan raya, tetapi mengambil masa 1 hari sebagai persediaan.
Bagaimanapun, pada hari ini, kerajaan telah pun mengisytiharkan Rabu, 9 Mei sebagai hari kelepasan am tambahan berikutan penetapan hari pertengahan minggu itu sebagai hari mengundi bagi pilihan raya umum ke-14, kata Pejabat Perdana Menteri.
Pengisytiharan cuti umum ini bagaimanapun untuk Tanah Melayu sahaja. Bagi Sabah dan Sarawak pula, kerajaan-kerajaan negeri hendaklah mengisytiharkan hari kelepasan am tambahan masing-masing.
“Ini bagi membolehkan rakyat menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pengundi.”
–FMT