no comments

Rakyat Mengeluh, Cukai SST Ke Atas Topup Dikecualikan Serta-Merta

Setelah mendapat keluhan dan kritikan rakyat, Kementerian Kewangan mengumumkan pembelian kad tambah nilai prabayar (topop) akan dikecualikan daripada cukai jualan dan perkhidmatan (SST) berkuat kuasa hari ini.

Perkara itu diumumkan oleh Menterinya, Lim Guan Eng ketika berucap dalam Majlis Taklimat Pelaksanaan SST.

Beliau turut memberi jaminan untuk memperbaiki setiap kelemahan yang wujud dalam pelaksanaan sistem percukaian tersebut demi kebaikan semua pihak.

“Malaysia tiada pilihan untuk melaksanakan cukai ini bagi menggantikan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) untuk mengelak negara berdepan dengan masalah defisit.

“Dalam masa sama, kerajaan akan memastikan pelaksanaan SST ini juga tidak akan membebankan rakyat sekali gus meningkatkan ekonomi negara,” katanya.

Guan Eng juga menegaskan nilai kad prabayar telefon tidak seharusnya dipotong selepas pelaksanaan Cukai SST itu. Beliau mempersoalkan tindakan syarikat telekomunikasi yang menurutnya “menyukarkan kehidupan” banyak pihak.

Ketika sesi taklimat sistem cukai itu di Kota Kinabalu hari ini, beliau berkata kementeriannya akan bertemu dengan syarikat telekomunikasi untuk menyelesaikan perkara itu.

“Kepada yang menggunakan (kad) prabayar…apa yang dicakap sekarang (ia dikenakan SST) tidak betul. Tak payah buat dua kali (pemotongan cukai). Jika anda guna prabayar, anda bayar RM10 dan dapat (nilai) RM10. Tiada pemotongan.

“Mengapa mereka (syarikat telekomunikasi) mahu sukarkan hidup (pengguna)? Tiada kerja lain? Kita akan jumpa syarikat-syarikat ini,” katanya.

Lim turut memberi jaminan bahawa pengguna kad prabayar akan menerima nilai yang dibayar mereka, dan pengguna akan dibayar rebat bagi menggantikan jumlah yang dicukai.

“Cukai perkhidmatan enam peratus akan dikredit balik kerana mereka sudah set dalam sistem cukai perkhidmatan.

“Itu masalah teknikal yang tidak sepatutnya berlaku tetapi telah berlaku dan kita akan ‘rebate’ balik akhirnya pembeli akan dapat nilai yang sama. Jadi, janganlah terperangkap dengan pihak yang juga menghasut bahawa telah dapat kurang dari RM10. Ini tidak akan berlaku,” katanya.

Sebelum itu, rungutan rakyat berkaitan cukai SST yang dikenakan ke atas tambah nilai prabayar itu mendapat perhatian Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

“Terima kasih. Buat isu SST untuk prabayar, perkara ini dalam perhatian kementerian.

“Kenyataan rasmi akan dikeluarkan dalam masa terdekat berkenaannya,” katanya melalui Twitter.

Pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang bermula 1 September mendapat pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat terutama berhubung caj dikenakan ke atas tambah nilai perkhidmatan prabayar.

Rata-rata ruangan komen di media sosial dibanjiri luahan rasa tidak puas hati netizen sejak semalam.

Terdahulu, Lim Guan Eng berkata ketika ini senarai lengkap barangan yang dikenakan SST sudah dimuat naik di laman sesawang Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Bagaimanapun katanya senarai barangan itu akan diperbaiki dari semasa ke semasa berdasarkan maklum balas daripada semua pihak.

Tambahnya, kerajaan amat prihatin dengan masalah rakyat dan pihaknya akan membuat pertimbangan sewajarnya mengenai senarai barangan tersebut.

Antara yang akan dikaji semula ialah mengenai senarai makanan laut seperti udang dan juga abalon yang disenaraikan di bawah SST.

“Semua senarai penuh telah dimuat naik tetapi tentu kena buat sedikit pindaan selepas dapat pandangan daripada orang ramai, dan mereka buat permintaan.

“Sebagai kerajaan prihatin dan mendengar pandangan rakyat, kita mesti ambil tindakan sewajarnya dan kita akan buat lagi pindaaan harap semua sabar, bila akan buat akhir tahun ini,” katanya.

Guan Eng berharap rakyat akan bersabar mengenai pelaksanaan cukai SST yang baru dilaksanakan bagi menggantikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Reply