Susulan ramai menteri dan timbalannya ‘hilang’ pada hari ini, bekas menteri, Tan Sri Rais Yatim mencadangkan agar elaun bulanan Ahli Parlimen dipotong sekiranya kuorum sidang Dewan Rakyat tidak mencukupi ketika perbahasan.
“Cara terbaik mengatasi masalah Dewan Rakyat yang tak cukup korum ialah potong elaun bulanan ahli mengikut kadar arahan JK Pilihan Dewan.
“Kedua, siarkan nama-nama anggota yang malas hadir dalam akhbar atau media sosial,” katanya dalam satu tweet petang tadi.
Cara terbaik mengatasi masalah DRakyat yg tak cukup korum ialah potong elaun bulanan Ahli mengikut kadar arahan JK Pilihan Dewan. Kedua, siarkan nama2 anggota yg malas hadir dlm akhbar atau media sosial. pic.twitter.com/s3adHIjr1I
— RAISYATIM (@DrRaisYatim) July 24, 2018
Cadangan itu mendapat persetujuan dari Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub.
Beliau juga setuju agar nama anggota parlimen yang dimaksudkan disiarkan.
Namun, Salahuddin berkata, cadangan Rais itu hanya perlu dikenakan kepada anggota parlimen yang tidak hadir tanpa alasan yang kukuh.
“Ya, itu saya setuju (dengan cadangan Rais),” katanya mengulas kenyataan Rais.
“Kalau mereka benar-benar anggota parlimen yang tidak bertanggungjawab, sengaja ponteng parlimen, tanpa alasan yang kukuh, menjadikan jawatan anggota parlimen sebagai untuk memenuhi kehendak peribadi, tidak datang parlimen, tidak bahas, itu saya rasa munasabah untuk parlimen sendiri ambil tindakan.
“Kalau ada pemotongan elaun, terpulang kepada peraturan parlimen,” katanya.
Mengulas lanjut, Salahuddin menegaskan beberapa anggota parlimen yang lewat masuk ke dalam dewan hari ini adalah kerana menghadiri taklimat sebelum itu.
Terdahulu, Parlimen gamat kosong yang menyaksikan sidang pada sebelah petang terpaksa ditangguhkan beberapa minit apabila ramai wakil rakyat gagal memenuhi kuorum minimum 26 anggota selepas diperuntukkan sejam setengah untuk berehat dan makan tengah hari.
Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohammad Ariff Md Yusof menunggu, dan sekretariat parlimen telah membunyikan loceng sebanyak dua kali, sebelum cukup anggota Parlimen mula masuk semula bagi membolehkan sidang diteruskan.
Datuk Alexander Nanta Linggi (PBB-Kapit) kemudian menyoal speaker sama ada kuorum untuk Dewan Rakyat telah dipenuhi.
“Malah menteri dan timbalan menteri juga belum masuk,” katanya.
Situasi itu menyebabkan Datuk Seri Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) secara berseloroh mengingatkan penyokong kerajaan tentang kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang tidak berpuas hati dengan prestasi kehadiran menteri dan timbalan menteri dalam sidang Dewan Rakyat semalam.
“Apalah… baru perdana menteri tegur semalam,” katanya.