PM Umum Khabar Gembira… Isi Rumah & Bujang B40 Bakal Dapat Bantuan Lagi RM500 Hingga RM1,000
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru saja mengumumkan Bantuan Prihatin Nasional (BPN 2.0) membabitkan peruntukan hampir RM7 bilion untuk 10.6 juta rakyat dalam empat katogeri.
Kumpulan pertama yang akan menerima bantuan tambahan RM1,000 ialah golongan B40 seramai 3.7 juta isi rumah.
“Kedua RM500 kepada 3.8 juta kumpulan B40 bujang; ketiga adalah RM600 kepada hampir 1.4 juta isi rumah M40.
“Manakala kumpulan keempat adalah 1.7 juta kumpulan M40 yang akan menerima RM300,” katanya dalam Perutusan Khas Kita Prihatin, hari ini.
Beliau berkata, bayaran BPN 2.0 akan dibuat dalam dua ansuran, iaitu pada hujung Oktober dan keduanya, pada Januari 2021.
Katanya, golongan B40 yang menerima RM700 dan RM300 akan menerima bayaran ansuran pertama.
“Tiada permohonan yang perlu dibuat untuk mendapatkan bantuan BPN 2.0. Kerajaan akan menyalurkan bantuan secara terus kepada 10.6 juta penerima yang telah diluluskan di bawah BPN sebelum ini,” katanya.
Bantuan tambah itu adalah inisiatif kerajaan untuk rakyat yang terjejas dalam menghadapi pandemik C0vid19.
Di penghujung ucapannya, Muhyiddin meminta rakyat Malaysia menolak tindakan membuta tuli segelintir ahli politik yang menjejas pelan pemulihan ekonomi yang sedang berjalan.
“Apa yang perlu ialah sebuah kerajaan yang stabil dan teguh dengan sokongan dan dokongan saudara dan saudari sekalian. Ini penting supaya lebih banyak inisiatif untuk memulihkan ekonomi dan membantu rakyat jelata dapat dilaksanakan dengan berkesan oleh kerajaan.”
“Saya merayu saudara dan saudari sekalian supaya menolak tindakan membuta tuli segelintir ahli politik yang sengaja mahu menjejaskan kestabilan politik dan pelan pemulihan ekonomi negara yang sedang dilaksanakan dengan baik pada masa ini.”
“InsyaAllah, kita boleh melakar masa depan yang lebih baik dari semalam. Saya yakin dan percaya kepada kekuatan semangat kita sebagai rakyat Malaysia. Marilah kita bersama-sama mendoakan kemakmuran negara kita dan kesejahteraan seluruh rakyat. Mudah-mudahan pakej Kita Prihatin ini akan dapat memberikan manfaat yang besar kepada saudara dan saudari sekalian,” katanya.