no comments

“Tak Adil.. PH Menang PRU Dengan Menipu Rakyat” – Najib

Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak menegaskan, beliau dan pembangkang akan terus bersuara serta menuntut Pakatan Harapan (PH) menunaikan janji-janji (manifesto) pilihan raya mereka kepada rakyat.

“Janji tetap adalah janji.” Ia tidak betul dan tidak adil apabila parti politik boleh memenangi kuasa hanya dengan menipu rakyat.”

“Rakyat tidak patut ditipu dan menerima apa sahaja alasan direka kerajaan PH bagi 5 tahun akan datang,” tulisnya dalam Facebook semalam.

Beliau merujuk kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempertahankan keputusan PH menamakan bekas hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof sebagai speaker Dewan Rakyat yang baru.

PH melalui manifesto pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu berjanji akan melantik speaker daripada kalangan ahli Parlimennya.

Pengerusi PH itu berkata, manifesto bukannya kitab suci yang boleh dilaksanakan sepenuhnya.

“Saya ingatkan manifesto bukan Bible, ia hanyalah panduan.

“Kadang-kadang kita boleh melakukan sesuatu, kadangkala kita dapati ia tidak boleh dilakukan. Jadi, kita perlu praktikal, tetapi orang ramai suka seseorang yang tiada kaitan dengan parti,” katanya di lobi Parlimen.

Najib berkata, Barisan Nasional merangka manifesto untuk PRU14 dengan berhati-hati dan menjalankan kajian beberapa kali kerana beliau mahu menunaikan setiap janji kepada rakyat.

“Mungkin kami terlalu berhati-hati untuk hanya berjanji apa yang mampu kami laksanakan? Adakah saya akan melakukan sebaliknya? Tidak.”

Hari ini, Najib turut berkata, rakyat kecewa apabila harga barangan masih tidak turun meskipun kadar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) disifarkan.

Menurut Ahli Parlimen Pekan itu, beliau menerima reaksi daripada orang ramai yang berpendapat harga barangan sebenarnya tidak turun selepas kadar sifar itu dilaksanakan.

“Saya dapat lihat orang ramai kecewa, ada juga yang turun macam harga kereta, tetapi umumnya harga barangan keperluan biasa rakyat tidak turun, malah ada yang naik.

“Jadi impak yang dijanjikan dalam Manifesto Pakatan Harapan bahawa mereka akan mengurangkan kos sara hidup tidak tercapai.

“Selain itu, rakyat juga bimbang dengan langkah memperkenalkan cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST ) kerana dijangka bahawa harga akan naik,” katanya ketika ditemui media selepas Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Pertama Parlimen Ke -14 oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di Parlimen.

Najib berkata, beliau akan membawa perkara itu ke sidang Dewan Rakyat dan akan memberi fakta yang diperlukan.

“Pelaksanaan SST akan memberi kesan kepada kos sara hidup rakyat.

“Kadar sifat GST sebelum ini tidak memberi kesan kepada rakyat, ditambah lagi dengan SST beban rakyat akan bertambah.

“Jadi, tidak kesampaian apa yang dinyatakan mereka (kerajaan) bahawa harga akan turun,” katanya.

Terdahulu, kerajaan mencadangkan kadar 10 peratus cukai jualan dan enam peratus cukai perkhidmatan di bawah SSTyang akan diperkenalkan semula pada 1 September depan.

Reply