no comments

Bekas Pegawai Khas Najib Direman, RM2 Juta Wang 1MDB Masuk Akaun

Bekas pegawai khas kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan SPRM berhubung skandal kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Suspek yang bergelar ‘Datuk’ berusia 42 tahun itu ditahan di ibu pejabat SPRM kira-kira jam 9.45 malam semalam selepas hadir memberi keterangan.

Majistret Shah Wira Abdul Halim hari ini membenarkan lelaki itu direman sehingga Ahad ini. Dia disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM.

Suspek tiba di perkarangan mahkamah di Putrajaya kira-kira 9.15 pagi berpakaian lokap SPRM berwarna oren dengan tangan bergari.

SPRM memohon reman selama tujuh hari, tetapi suspek bagaimanapun mengakui dia mempunyai “masalah kesihatan” dan berjanji memberikan kerjasama penuh kepada SPRM.

Dilaporkan lebih setahun lalu bahawa sebuah syarikat yang dimiliki oleh suspek menerima transaksi RM2 juta dari akaun peribadi Najib, yang didakwa berasal dari SRC International, anak syarikat 1MDB.

Suspek juga adalah pemilik bersama syarikat yang membangunkan aplikasi mudah alih Najib yang diterbitkan sekitar dua tahun lalu.

Suspek juga adalah ahli lembaga pengarah kepada sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC), namun meletakkan jawatan pada 5 Jun lalu.

Suspek pernah berkhidmat dengan Bank Negara sebelum berkhidmat sebagai pegawai khas kepada Najib pada 2009.

Jurucakap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), berkata; suspek adalah individu pertama yang direman berhubung siasatan kes ini.

Reply