no comments

Parlimen Luluskan RUU Cukai Perkhidmatan 2018!

Dewan Rakyat (Parlimen) hari ini telah meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Cukai Perkhidmatan 2018 tanpa sebarang pindaan menerusi suara majoriti walaupun mendapat bantahan daripada anggota parlimen pembangkang.

RUU itu sebahagian daripada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang akan dilaksanakan mulai 1 September ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam penggulungannya menjelaskan kerajaan tidak dapat menjamin tidak ada kenaikan harga barang selepas sistem percukaian baru dilaksanakan. Bagaimanapun, beliau percaya kesannya hanya separuh sahaja daripada akibat pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

“Saya nak tegaskan di sini, pihak kami (Kementerian Kewangan) tidak pernah memberi jaminan bahawa harga barangan tidak akan naik.

“Tetapi sekiranya naik, impaknya separuh daripada impak GST. Bagaimanapun, kita akan cuba (sebaik) yang boleh,” ujarnya.

Semalam, Dewan Rakyat meluluskan RUU Cukai Jualan 2015. RUU melibatkan kedua-dua cukai itu akan dibentangkan di Dewan Negara pada mesyuarat kali ini.

Sementara itu, beliau turut mengesahkan bahawa SST tidak akan dikenakan terhadap projek pembangunan kerajaan. Ia sekaligus akan menjimatkan enam peratus perbelanjaan kerajaan.

Antara empat perkhidmatan baharu dikenakan cukai apabila Cukai Perkhidmatan ini dikuatkuasakan adalah aktiviti perjudian merangkumi nombor ramalan, kasino, kelab, loteri dan lumba kuda.

Turut dikenakan cukai ialah perkhidmatan penerbangan dan catar kapal terbang termasuk helikopter domestik kecuali di Sabah dan Sarawak, perkhidmatan teknologi maklumat (IT) dan bekalan elektrik domestik bagi penggunaan lebih 600 unit sebulan.

“Semua perkhidmatan telekomunikasi termasuk khidmat tambahan seperti aplikasi dan permainan dalam pakej talian, perkhidmatan internet dan televisyen berbayar (satelit dan internet) turut terbabit,” kata Guan Eng.

Reply