no comments

Bongkar! Nilai Sebenar Tanah Felda Bukan RM270Juta, Tapi RM1 Bilion!

Laporan Berita Harian hari ini memetik, nilai tanah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) di Jalan Semarak yang diambil alih syarikat pemaju bagi projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) sebenarnya mencecah RM1 bilion dan bukannya RM270Juta seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Eksekutif penilaian kanan sebuah syarikat swasta Umran Suffian Hussin berkata, berdasarkan data hartanah, harga tanah di sekitar Jalan Gurney, Jalan Maktab dan Jalan Semarak bernilai antara RM1,300 hingga Rm1,600 sekaki persegi.

“Ini adalah anggaran kasar memandangkan nilai hartanah di kawasan itu bergantung kepada saiz, zon kegunaan tanah dan lokasi sebenar,” katanya.

Menurut laporan itu lagi, sumber yang rapat dengan projek KLVC pula memberi anggaran harga RM1,950 untuk sekaki persegi.

Tanah itu kini sedang dibangunkan sebagai sebahagian daripada projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC), yang melibatkan tujuh menara – termasuk sebuah menara Felda dikenali sebagai Menara 1A KLVC, bangunan 68 tingkat merangkumi 59 tingkat ruang pejabat dan helipad.

Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Samad sebelum ini berkata, agensi itu sepatutnya kekal menjadi pemilik tanah, tetapi pada 2014, pemaju utama KLVC mendapat surat kuasa dan memindahkan hak milik kepadanya.

Polis telah memulakan siasatan berhubung perkara itu, dan bekas pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad dijangka akan dipanggil untuk soal siasat.

“Kita akan menunggu arahan selanjutnya sama ada akan memanggil beliau (Mohd Isa) untuk diambil keterangan atau sebaliknya.

“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 421 Kanun Keseksaan atas kesalahan tipu dan pemalsuan dokumen,” katanya Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Nor Rashid Ibrahim.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim pula memaklumkan audit bebas akan dilaksanakan bulan depan untuk menentukan sama ada berlaku pelanggaran prosedur dalam Felda atau Felda Investment Corporation (FIC) Sdn Bhd.

Dalam pada itu, Tan Sri Shahrir Abdul Samad, berkata tiada sebab pemaju perlu memindah milik tanah itu selepas diberikan surat kuasa wakil penuh (PA) untuk memajukan tanah di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Katanya, berbekalkan PA dan Kebenaran Merancang daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), pemaju boleh membangunkan tanah itu tanpa perlu memindah milik tanah itu.

“Itu (PA) terbukti sudah kuat… sebagai pemegang PA, tanah dan mewakili FELDA mendapatkan ‘Development Order’ (Kebenaran Merancang) bagi membangunkan projek KLVC.

“Tetapi selepas mendapat PA, berlaku pemindahan hak milik tanah pada syarikat dia sendiri. Apa motif (pemaju) sehingga tanah dipindahkan menjadi milik syarikat sendiri?

“Jika syarikat itu dijual atau dibeli pihak lain, dengan tanah itu semua sekali akan dijual. Sebab itu kita (FELDA) kata berlakunya ‘fraud’ (penipuan),” katanya kepada BH ketika ditemui di sini, hari ini.

Shahrir berkata, pemaju memperoleh PA daripada FELDA dan memindah milik tanah tanpa perbincangan secara rasmi dengan FELDA dan FELDA Investment Corporation Sdn Bhd (FIC).

“Memang betul berisiko (serahkan PA), tetapi pemaju yang bertanggungjawab selepas memiliki PA, hanya perlu bangunkan projek sahaja, tiada sebab untuk pindah milik tanah,” katanya.

Mengulas mengenai nilai semasa tanah di Jalan Semarak yang dikatakan mencecah harga RM1 bilion, Shahrir berkata harga berkenaan dinilai selepas kawasan itu dibangunkan dengan pembangunan komersial.

“Kalau tanah itu status institusi (milik FELDA), nilainya tidak setinggi itu tetapi jika sudah diluluskan untuk pembangunan komersial, itu yang naik sehingga RM1 bilion.

Malaysiakini, BHarian

Reply