no comments

Nilai Ringgit & Pasaran Saham Jatuh Menjunam Kerana Anwar

Susulan selepas pengumuman Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengatakan kerajaan Perikatan Nasional yang diterajui oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah jatuh, nilai ringgit dan pasaran saham jatuh serta-merta.

Menurut seorang penganalisis, ringgit terus menyusut berbanding dolar AS pada penutupan hari ini berikutan pengukuhan mata wang Amerika Syarikat (AS) itu, yang dilihat sebagai mata wang selamat di tengah-tengah persekitaran politik AS.

Pada 6 petang, ringgit disebut harga pada 4.1520/1570 berbanding 4.1320/1370 semasa ditutup semalam.

Ketua Strategi Pasaran Global AxiCorp Stephen Innes berkata pelabur beralih kepada dolar AS selepas urus niaga lindung nilai di kebanyakan pasaran menyebabkan tarikan menjadi kurang bagi memegang risiko.

“Tambahan pula, 29 Sept ini akan menyaksikan perdebatan pilihan raya AS yang pertama, yang mungkin mencerahkan beberapa kebimbangan mengenai risiko politik di negara itu,” katanya.

Innes ketika mengulas mengenai pasaran tempatan memberitahu ringgit terjejas teruk selepas Presiden PKR itu mengumumkan bahawa beliau mempunyai sokongan penggubal undang-undang yang boleh mencetuskan pilihan raya segera.

“Pilihan raya seperti ini amat membimbangkan bagi pasaran mata wang. Saya rasa ini pemacu terbesar pada hari ini sehingga menyebabkan ringgit jatuh.

“Di samping itu, indeks harga pengguna Ogos (IHP) merosot lebih jauh daripada yang dijangkakan, memberikan Bank Negara Malaysia (BNM) ruang yang mencukupi bagi memperkenalkan sebarang polisi. Jadi kemungkinan, ia akan memperkenalkan kadar pengurangan dan menjejaskan ringgit bagi jangka pendek,” katanya lagi.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, IHP berkurangan sebanyak 1.4 peratus dari tahun ke tahun kepada 120.1 pada Ogos 2020 daripada 121.8 yang direkodkan oleh bulan yang sama tahun lepas.

Berbanding mata wang utama lain, ringgit diniagakan lebih rendah.

Ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0411/0459 daripada 3.0293/0337 semalam dan susut berbanding pound British kepada 5.2872/2944 daripada 5.2836/2908.

Ringgit juga lemah berbanding euro kepada 4.8628/8703 daripada 4.8497/8560 sebelum ini dan jatuh berbanding yen kepada 3.9539/9598 daripada 3.9514/9570.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Menteri Sains, Tenaga Dan Inovasi, Ahmad Amzad Hashim mengkritik tindakan tidak bertanggungjawab Anwar yang telah menyebabkan kesan yang tidak sepatutnya kepada ekonomi negara.

“Tengok apa jadi pada pasaran saham pagi ini. Jatuh merundum dengan teruk gara-gara perbuatan beliau. Asal dia buka mulut saja pasaran saham jatuh merudum.”

“Ini tiada angin tiada apa tiba-tiba umum kerajaan jatuh. Saya kira ini adalah bentuk politik terdesak beliau. Dia sepatutnya lebiih sensitif dan bertimbang rasa dengan keadaan YDP yang sedang mendapatkan rawatan di IJN dan bukannya buat benda yang tiada asas,” katanya.

Ahmad Amzad yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu berkata, tiada apa yang berlaku sebaliknya mesyuarat Kabinet yang dijadualkan pada pagi tadi berlangsung seperti biasa.

“Mesyuarat Kabinet macam biasa pagi tadi. Perdana Menteri sendiri tak sentuh apapun mengenai isu ini.

“Takkanlah benda sebesar ini kami semua tak tahu atau tiada dalam pengetahuan kami jika benar,” ujar Ahmad Amzad.

Reply