“Penilaian Rampasan Tak Realistik, Beza Bila Ia Hadiah Atau Dibeli” – Najib
‘Subjektif dan tidak realistik’, itu yang dikatakan oleh Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung penilaian barangan yang dirampas polis dari kediamannya.
“Ia bergantung kepada sumber permata itu, ia bergantung adakah ia hadiah atau bila ia dibeli. Penilaian mungkin akan jadi berbeza.
“Maka, janganlah kita terlalu teruja dengannya. Marilah kita melihat barang berkenaan, setiap barang, dan kami berharap dapat memeriksanya dan kita dapat membuat kesimpulan sumber barang itu dan dapat dijelaskan mengenai barang yang disita oleh polis,”katanya.
Tambah Najib, seperti mana-mana suami, beliau tidak menyedari sejauh mana koleksi barang kemas dan barang kemasnya yang dimiliki isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh hari ini mendedahkan jumlah keseluruhan nilai barangan dirampas di kediaman berkaitan Najib ialah antara RM900 juta hingga RM1.1 bilion.
Ia membabitkan 12,000 pelbagai barang kemas yang ditemui dalam 25 daripada 72 beg yang dirampas polis dalam serbuan Mei lalu.
Antara barang kemas itu ialah cincin, berlian, gelang dan subang yang keseluruhannya dengan nilai pasaran kira-kira RM880 juta.
Daripada jumlah itu, 2,200 adalah cincin, 1,400 rantai, gelang tangan (2,100), subang (2,800), kerongsang (1,600) dan tiara (14).
Barang paling berharga adalah rantai emas dengan berlian putih bernilai RM6.4 juta.
Turut dirampas, 567 beg tangan membabitkan 37 jenama seperti Hermes, Prada dan Chanel serta Bijan. Beg tangan Hermes bernilai kira-kira RM51.3 juta dan paling mahal berharga RM1.6 juta.
Selain itu, turut dirampas 234 cermin mata hitam seperti Gucci dan Dior kesemuanya bernilai RM374,000, enam beg mengandungi 423 utas jam tangan bernilai RM78 juta membabitkan lebih 100 jenama.
Kesemua barang kemas dan wang kini disimpan di Bank Negara.
Susulan itu, Ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan barangan rampasan itu sebagai “kemewahan dan pemborosan” yang dianggapnya menjadi sesuatu yang “mengaibkan dan memualkan”.
“Saya anggap kemewahan dan keborosan ini sangat mengaibkan dan cukup memualkan dan menunjukkan betapa rosaknya sistem dalam negara kita yang ada semua institusi (dari kehakiman sampailah pencegahan rasuah) tetapi perkara ini berlaku berleluasa,” katanya.