Reaksi Najib Selepas Tun M Mahu Kurang & Hapuskan BR1M
Pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) untuk golongan kurang berkemampuan yang diberikan setiap tahun sebelum ini, akan dikurangkan jumlahnya sedikit demi sedikit dan kemudiannya akan dihapuskan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, langkah tersebut bertujuan untuk memastikan rakyat lebih berdikari dan tidak hanya bergantung kepada kerajaan semata-mata.
“Kita akan kurangkan sedikit demi sedikit apa yang kita berikan kepada mereka (BR1M) dan jelaskan kepada mereka apa objektif kita.
“Saya sentiasa cakap mengenai tongkat. Buanglah tongkat anda, berjalan di atas kaki sendiri. Barulah anda menjadi kuat dan anda akan jadi lebih baik. Jika anda hanya suap rakyat, mereka akan jadi lemah,” katanya.
Susulan itu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melahirkan rasa kesal terhadap keputusan kerajaan untuk mengurangkan dan menghapuskan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).
Najib berkata, BR1M bukan untuk tujuan politik dan kriteria penerimaannya berdasarkan pendapatan bulanan isi keluarga tanpa mengira fahaman parti politik.
Najib dalam kenyataannya di Facebook berkata; “Saya kesal bahawa Tun Dr Mahathir semalam mengumumkan bahawa BR1M akan dikurangkan dan dihapuskan.”
Tun Mahathir masih mendakwa bahawa BR1M dibayar dengan wang yang dicuri dan tujuan BR1M ialah untuk “membeli” rakyat.
Dia juga mendakwa, wang BR1M terlalu kecil dan rakyat tidak merasa. Agaknya pelik tuduhan bahawa kerajaan BN “curi” wang untuk bagi balik kepada rakyat.
Wang untuk membayar BR1M bukan dari sumber yang dicuri. Ia ialah dari langkah rasionalasasi subsidi dan GST.
BR1M bukan untuk tujuan politik dan kriteria menerimanya hanya berdasarkan kepada pendapatan bulanan isi keluarga – tidak kira mereka menyokong parti politik mana.
Orang yang kaya lebih banyak mendapat faedah dari subsidi pukal manakala kutipan GST lebih banyak dari SST kerana orang kaya yang bayar lebih banyak GST kerana perbelanjaan mereka lebih dan lebih penting, GST mengurangkan pengelakkan cukai, mengurangkan aliran dana haram dan mengutip cukai daripada ekonomi “gelap”.
Wang ini kita kembalikan kepada golongan B40 sebagai BR1M yang terus naik kerana kutipan GST terus naik akibat dari pertumbuhan ekonomi Malaysia yang dulunya semakin naik. Bila orang susah dapat duit, duit tu dibelanjakan semula dalam kitaran ekonomi terutama di kawasan luar bandar.
Dengan ini, jurang kekayaan dan pendapatan antara golongan yang kaya dan miskin boleh dirapatkan.
Ini jelas dari nisbah GINI yang semakin menurun sehingga terendah di bawah 0.40 untuk pertama sekali dalam sejarah pada tahun 2016.
Minggu lepas, kerajaan PH telah mengumumkan bahawa kadar pertumbuhan KDNK (GDP) untuk suku kedua selepas mereka mengambil alih telah menurun dengan mengejutkan kepada 4.5 peratus berbanding 5.4 peratus untuk suku sebelum itu manakala kadar pengangguran sudah naik. Ada beberapa penganalisa ekonomi juga meramalkan Malaysia bakal akan jatuh kepada kemelesetan ekonomi atau krisis dalam tempoh yang terdekat. Harga getah dan minyak sawit juga telah turun dengan turuk semenjak PRU14.
Ketika inilah orang miskin yang patut ditolong bukan dihukum.
Di mana salahnya kalau kita mengambil wang dari yang kaya dan yang lari cukai untuk membayar kepada yang miskin?
Adakah PH sudah lupa bahawa mereka berjanj untuk meneruskan BR1M dalam manifesto? Mengapa sekarang mahu mungkir janji dan menghukum rakyat miskin?
Nampaknya kerajaan PH hanya mementingkan golongan yang kaya, ekonomi gelap dan peniaga yang suka mengelak cukai daripada mahu menaikkan gaji dan membantu golongan yang miskin.
Saya bimbang bahawa jurang pendapatan yang semakin turun masa saya menjadi Perdana Menteri akan naik kembali kepada tahap yang tinggi pada penggal pertama Tun Mahathir berkuasa.
Pada 15 Mei lalu, Dr Mahathir memaklumkan pemberian BR1M akan diteruskan, namun beberapa perkara dalam pemberian itu akan dikaji semula bagi memastikan hanya golongan yang benar-benar layak sahaja akan menerima bantuan tersebut.
Mengulas lanjut, Dr Mahathir mendakwa, Najib sebelum ini telah memanjakan rakyat dengan hanya memberikan rakyat wang tanpa perlu melakukan kerja.
“Najib memanjakan rakyat dengan membuatkan mereka fikir tanpa melakukan sebarang kerja kerajaan akan berikan wang kepada mereka.
“Sekarang kita tidak boleh berikan mereka wang kerana kita tidak mencuri wang, tetapi mereka masih mahu wang (BR1M).
“Mereka (rakyat) menjadi sangat bergantung kepada kerajaan dan ini adalah tidak baik. Mana-mana negara yang rakyatnya berasa kerajaan akan membayar wang walaupun tidak melakukan apa-apa, ia akan muflis,” kata Tun M.