no comments

Najib Suspek ‘No.1’, Berdepan Tuduhan Seleweng & Rasuah Guna Duit Kerajaan

Rasuah menggunakan duit kerajaan dan penyelewengan, antara tuduhan yang bakal dihadapi oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berikutan penyiasatan ke atas skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam wawacaranya bersama Reuters berkata, ia merupakan antara tuduhan yang bakal dikenakan selepas penyiasat sudah ‘mempunyai kes yang hampir sempurna’ terhadap kontroversi skandal berkenaan.

Malah Dr Mahathir turut mendakwa Najib sebagai individu yang berperanan utama dalam kes tersebut.

“Dia bertanggungjawab sepenuhnya terhadap 1MDB. Tiada apa-apa yang boleh dilakukan tanpa tandatangannya, dan kami mempunyai tandatangannya pada semua perjanjian yang dimeterai oleh 1MDB. Oleh itu, dia bertanggungjawab,” katanya.

Hasil daripada penyelidikan antikleptokrasi, Jabatan Keadilan Amerika Syarikat mendakwa, lebih daripada AS$4.5 bilion sudah disalahgunakan daripada dana 1MDB dan kira-kira AS$700 juta itu berakhir dalam akaun bank peribadi Najib.

Kontroversi 1MDB mula menjadi perhatian ramai sejak 1 Mac 2015 apabila sebuah syarikat perkhidmatan dan penerokaan minyak berpangkalan di Arab Saudi, PetroSaudi International menafikan dakwaan semua wang yang diperuntukkan kepada 1MDB telah disalurkan ke syarikat itu, berdasarkan laporan Sarawak Report.

Sebuah pasukan khas kemudiannya ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan penyelewengan itu.

Ia kemudian disusuli laporan The Wall Street Journal dan Sarawak Report yang menerbitkan laporan mendakwa dana 1MDB dipindahkan ke akaun peribadi Najib.

Bagaimanapun, pada 3 Ogos 2015, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengeluarkan kenyataan, hasil siasatan mendapati, dana RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun Najib adalah derma yang disumbangkan pihak tertentu yang tidak didedahkan.

Selepas Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran kerajaan susulan kemenangannya dalam PRU14 lalu, Dr Mahathir membuka semula siasatan ke atas 1MDB dan pembabitan Najib di dalamnya.

Najib Dr Mahathir berkata, penyiasat sedang mencari “beberapa pertuduhan” terhadap Najib dan tuduhan itu akan berdasarkan penyalahgunaan kuasa ketika beliau menjadi Perdana Menteri.

“Mereka boleh menggunakan pertuduhan seperti “penggelapan, mencuri duit kerajaan, kehilangan wang kerajaan dan sebilangan caj lain dan menggunakan wang kerajaan untuk sogokan,” katanya.

Tun M turut berkata; Rosmah juga sedang disiasat berkaitan dengan 1MDB.

“Ada wang yang diyakini telah pergi kepadanya (Rosmah), banyak wang,” kata Tun M.

“Kami tahu tentang perkara ini, tetapi untuk menjejaknya agak sukar kerana beliau (Rosmah) tidak menandatangani apa-apa kertas. Najib menandatangani banyak kertas,” katanya.

Tun Dr Mahathir berkata beliau menjangka pihak berkuasa akan membuat tangkapan pertama dalam kes 1MDB dalam tempoh beberapa bulan lagi dan perbicaraan bakal bermula menjelang akhir tahun ini.

“Kami sedang bekerja keras sepantas mungkin. Kami rasa, kami sudah mempunyai kes yang hampir sempurna,” katanya.

Atas arahan Tun M, Najib dilarang meninggalkan negara dan polis juga sudah menjalankan serbuan ke atas hartanah yang dikaitkan dengan beliau.

Bagaimanapun, Najib secara konsisten menafikan salah laku dan mengulangi minggu lalu bahawa dia tidak mengambil wang dari 1MDB.

Reply