no comments

Najib Saman AG, KP SPRM & Amar Singh

Datuk Seri Najib Tun Razak telah memfailkan saman pemula terhadap Peguam Negara, Tommy Thomas; Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh.

Saman pemula secara sebelah pihak (ex-parte) itu difailkan Najib selaku pemohon, bagi menuntut deklarasi bahawa pembabitan ketiga-tiga mereka dalam penyiasatan kes 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah prejudis terhadap beliau dan tidak sah.

Saman itu difailkan secara berasingan melalui Firma Tetuan Badrul Samad Faik & Co pada 30 Jun lepas.

Berdasarkan afidavit sokongan yang dikemukakan, bekas presiden Umno itu mendakwa Thomas telah mengeluarkan satu artikel bertajuk ‘Grand Lacerny in 1MDB’ ketika belum dilantik menjadi peguam negara.

“Pendirian Thomas jelas tidak menyukai saya dan perkara ini melahirkan kebimbangan bahawa beliau (Thomas) akan mencari jalan untuk mengenakan satu pertuduhan ke atas saya dengan apa alasan sekalipun,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pekan itu mendakwa, Mohd Shukri telah membuat sidang media berhubung SRC International Sdn Bhd sebaik dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM dan merumuskan beliau menerima sejumlah RM42 juta dan RM2.6 bilion sedangkan ketika itu beliau belum dipanggil memberi keterangan di SPRM.

“Kenyataan media dibuat Mohd Shukri berunsur dendam dan lebih malang menggambarkan saya seorang pesalah.

“Beliau seharusnya bersikap neutral sehingga siasatan penuh dilakukan sebaliknya memilih untuk menghukum tanpa asas kukuh,” katanya.

Dalam pada itu, Najib mendakwa serbuan yang dilakukan Amar Singh bersama pasukannya di beberapa premis milik beliau dan anaknya dilakukan tidak memenuhi Prosedur Standard Operasi (SOP).

“Amar Singh yang bertanggungjawab mengetuai serbuan ke atas beberapa premis termasuk premis didiami anak-anak saya di Pavilion Residence serta premis dipinjam daripada seorang rakan bagi menempatkan barangan yang dipindahkan dari kediaman rasmi di Seri Perdana tidak mematuhi SOP,” katanya.

Berikutan itu Najib mendakwa ketiga-tiga mereka tidak layak terbabit dalam pasukan petugas khas 1MDB kerana integriti mereka boleh dipertikai.

Beliau berkata susulan itu laporan polis secara berasingan berhubung kelayakan ketiga-tiga mereka dalam siasatan terhadap kes berkenaan telah dibuat selain turut membuat surat rasmi kepada Suruhanjaya Integriti berkaitan kredibiliti dan integriti mereka.

Selain perintah deklarasi bahawa pembabitan ketiga-tiga penyiasat kanan itu di dalam 1MDB tidak sah, Najib turut memohon kos dan kausa dan relif lain yang sesuai.

Bekas Perdana Menteri itu sudah selesai membayar baki jaminan sebanyak RM500,000 hari ini.

Najib yang tiba di mahkamah kira-kira jam 11.43 pagi itu diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor memasuki pejabat pendaftaran mahkamah tinggi dan menandatangani dokumen jaminan.

Para penyokong pemimpin itu yang hadir sejak awal pagi melaungkan kata-kata ‘Hidup Najib dan Bebas Najib‘ sebaik pasangan itu tiba di mahkamah.

Bayaran jamin dibuat anak beliau, Nooryana Najwa dan Norashman yang tiba tepat pukul 10.04 pagi di Kompleks Mahkamah Jalan Duta.

Najib menghadapi tiga pertuduhan melakukan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalahgunakan jawatannya berhubung dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta, melunaskan baki bayaran jaminan berjumlah RM500,000 pada Isnin.

Beliau dibebaskan dengan ikat jamin RM1 juta, dengan dua orang penjamin dan mahkamah membenarkan bayaran ikat jamin itu dibuat secara ansuran pada Rabu lepas dan hari ini.

Najib bersama Rosmah kemudiannya beredar menaiki kenderaan pelbagai guna MPV Toyota Vellfire berwarna putih.

Reply