no comments

Tak Lari: Najib Tak Mahu Jadi Buruan & Pelarian Seumur Hayat, Mahu Bersih Nama

“Tidak, saya tidak pernah bercadang untuk pergi. Kerana jika saya pergi (meninggalkan Malaysia), ada anggapan saya bersalah,” kata Datuk Seri Najib Razak.

Bekas Perdana Menteri itu bagaimanapun bertekad untuk tinggal di Malaysia dan berjuang menentang tuduhan terhadapnya walaupun menghadapi kemungkinan akan dipenjarakan.

“Saya tidak boleh menjadi buruan untuk sepanjang hayat saya. Saya mahu membersihkan nama saya,” katanya kepada Reuters dalam temu bual di Langkawi, hari ini.

Dalam temubual itu, Najib buat pertama kali mengulas berkenaan ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Najib berkata, beliau merasakan bahawa hubungan Low di Timur Tengah terutama dengan Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) boleh menarik lebih banyak pelaburan ke Malaysia.

Katanya, namun beliau tidak pernah mengarahkan Low untuk terbabit dalam urusan 1MDB dan tidak mempunyai kawalan ke atas apa yang dilakukannya.

“Saya tidak memberikan arahan kepadanya, tetapi dia secara sukarela melakukan perkara tertentu yang menurutnya akan membantu 1MDB.

“Tetapi apa yang dilakukannya adalah tanggungjawab pengurusan dan lembaga pengarah,” katanya.

Beliau turut menyifatkan hubungan anak tirinya, Riza Aziz dengan Jho Low adalah sebagai rakan, tetapi tidak menyedari sebarang urusan yang membabitkan dana 1MDB dalam syarikat penerbitan filem milik Riza.

Ketika ditanya sama ada beliau masih berhubung dengan Jho Low, Najib berkata: “Kami sudah tidak berhubung lagi. Saya juga tidak tahu di mana dia. Peguamnya tidak memberi sebarang respon terhadap permintaan maklum balas,” katanya.

Najib secara konsisten menafikan sebarang salah laku dalam 1MDB, beliau berkata, wang USD681 juta dipindahkan ke akaun bank peribadinya adalah derma daripada Arab Saudi dan bukan kerana tindakan undang-undang Amerika Syarikat.

“Apa yang saya tahu, saya menerima daripada Arab Saudi ketika pemerintahan Raja Abdullah berdasarkan arahannya,” katanya.

Santai dengan kemeja hitam dan seluar berwarna coklat dalam temu bual itu, Najib berkata, beliau bermain golf, menikmati makanan dan meluangkan masa bersama keluarganya.

Keluarga itu menempah vila berkenaan untuk meraikan hari raya bersama-sama. Anak Najib termasuk anak tirinya Riza Aziz, yang juga seorang produser filem Hollywood, ada bersama dengannya.

Reply