Tidak seperti tahun-tahun sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hanya meraikan sambutan Hari Kebangsaan dengan mengadakan perkelahan santai di Taman Botani, Kuala Lumpur hari ini.
Dalam program kecil-kecilan itu, Najib membuka ucapannya dengan berjanji untuk terus memantau kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) terutama dalam soal janji manifesto PRU ke-14.
“Terima kasih kerana dapat bersama-sama kita kerana kita cintakan negara ini. Kita akan melakukan yang terbaik untuk negara. Mana-mana janji yang tak ditunaikan, kita tahulah…” kata Najib.
Ketika itu, Rosmah dengan spontan menyampuk ucapannya dengan berseloroh: Tak boleh cakap nanti kena panggil (pihak berkuasa) lagi.”
Kata-kata itu disambut ketawa kira-kira 100 orang yang hadir.
Najib kemudian menamatkan ucapannya dengan melaungkan “merdeka” sebanyak tiga kali.
Selama lebih dua jam, Najib dan isteri meluangkan masa beramah mesra dan berswafoto bersama hadirin sambil menikmati juadah nasi lemak yang disediakan penganjur, Datuk Lokman Noor Adam.
Lokman ketika ditanya berhubung jumlah hadirin yang sederhana menjelaskan, program pada mulanya dijadual berlangsung di Dewan Memorial Tun Abdul Razak yang hanya boleh memuatkan 120 orang.
“Jumlah kehadiran sudah disenarai pendek kepada 120 orang sahaja, dan kita terpaksa tolak banyak lagi yang mahu sertai.Tetapi lokasi terpaksa dipindah di saat akhir ke sini,” katanya lagi.
Sementara itu, mengulas mengenai pelantikan Petron Fuel International Sdn Bhd (Petron) sebagai salah satu pembekal bahan api untuk kenderaan kerajaan, Najib berkata ia boleh mencetuskan konflik moral.
Katanya, ini kerana ramai percaya bahawa Petronas sebaliknya yang seharusnya mengambil alih.
“Ramai berpendapat bahawa adalah lebih baik sekiranya Petronas menjadi pembekal bahan api bagi kenderaan kerajaan kerana syarikat minyak yang diiktiraf antarabangsa itu sememangnya dimiliki oleh kerajaan dan menjadi kebanggaan negara.
“Pelantikan itu (Petron) boleh menimbulkan konflik moral,” katanya kepada media selepas program Riadah 1Malaysia Merdeka di Taman Botani Perdana, pagi tadi.
Dalam pada itu, menerusi catatan terbaru beliau di laman Facebook, Najib turut mempersoalkan mengapa sumber pendapatan Petronas diganggu kerajaan sedangkan ia adalah syarikat milik kerajaan.
Menurut Ahli Parlimen Pekan itu, Petronas adalah syarikat milik negara dan rakyat Malaysia.
“Jadi, akan timbul persoalan mengapa Petronas dibenarkan diganggu gugat sumber pendapatannya melalui perbelanjaan Kerajaan, tidak lain tidak bukan oleh Kerajaan Malaysia sendiri.
“Petronas mempunyai stesen di hampir semua kawasan di Malaysia dan sudah tentu bersama dengan Shell, adalah kombinasi yang memadai untuk kenderaan kerajaan Malaysia.
“Jika alasannya adalah untuk kemudahan, mengapa Caltex dan BHP diketepikan sedangkan mereka mempunyai bilangan stesen yang hampir sama dengan Petron?” katanya.
Sementara itu, Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan semalam, menjelaskan bahawa Petron bukanlah pembekal tunggal minyak petrol dan diesel kenderaan kerajaan Persekutuan.
Sebaliknya, menurut kementerian terbabit, Petronas dan Shell masih lagi pembekal minyak petrol dan diesel sejak 1997 untuk kegunaan kenderaan kerajaan.
Menurut MOF, pelantikan itu dibuat secara pentadbiran kerana ia berkaitan dengan urusan operasi dan tidak membabitkan sebarang implikasi kewangan kepada kerajaan.
“Melalui kelulusan ini, kerajaan memperoleh lebih banyak pilihan di antara Petronas, Shell dan Petron selain dapat membuka peluang serta persaingan yang sihat dalam kalangan pembekal minyak petrol dan diesel.
“Kerajaan juga tidak mengehadkan jumlah pembekal kerana pembekal minyak yang lain juga berwibawa dan mempunyai jaringan stesen di seluruh negara,” katanya.