no comments

Najib Guna ‘Laluan Rahsia’ Elak Dikesan

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini sekali lagi hadir untuk memberi keterangan kepada Unit Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA), Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk kali kedua, Bukit Aman, di Menara 238, Jalan Tun Razak.

Beliau dilaporkan tiba bersama peguamnya antara jam 9 hingga 9.30 pagi tadi menggunakan laluan rahsia di menara berkenaan bagi mengelak dikesan pihak media yang menunggunya.

Sebuah kereta jenis Toyota Vellfire dipercayai dinaiki Najib dilihat berada di bahagian belakang menara menunggu untuk mengambil Ahli Parlimen Pekan itu selepas proses memberikan keterangan selesai.

Bagaimanapun, Najib dikatakan telah meninggalkan bangunan berkenaan menaiki sebuah kenderaan jenis Audi Q7 kira-kira jam 1.20 petang.

Keterangan Najib itu dipercayai bagi membantu siasatan berhubung skandal 1MDB di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Amla).

Isnin lalu, Najib telah hadir memberikan keterangan kira-kira satu jam.

Pada 8 Ogos lalu, Najib didakwa di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melalui kenyataan medianya berkata, pertuduhan itu berkaitan kes SRC International Sdn Bhd.

Tiga tuduhan pengubahan wang haram di bawah AMLA 2001 dan empat tuduhan lain terdahulu yang dipinda berhubung dana RM42 juta milik SRC International yang berada dalam akaun peribadinya.

Tiga deposit itu masing-masing berjumlah RM27 juta dan RM5 juta dan RM10 juta dimasukkan ke dalam akaun AmIslamic miliknya antara 26 Disember 2014 hingga 10 Februari 2015.

Mengikut pertuduhan berkenaan, jika disabit kesalahan, Najib bakal berhadapan hukuman penjara 15 tahun dan denda sebanyak lima kali ganda jumlah wang yang digubah.

Reply