Kemungkinan Minggu Depan Najib Ditangkap – Sumber
Menurut sumber, satu lagi sidang media akan diadakan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman berhubung barang-barang yang dirampas dari kediaman bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak minggu depan.
Ditanya jika ini menunjukkan Najib mungkin ditangkap pada minggu depan, sumber berkata: “Mungkin pada masa itu, bergantung dengan perkembangan siasatan.”
Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bercakap kepada media di Jakarta, menjangkakan Najib akan didakwa tidak lama lagi berkaitan skandal 1MDB.
“Tak lama lagi saya fikir dia (Najib) akan di hadapkan ke mahkamah.
“Untuk bawa kes ke mahkamah perlu ada bukti yang cukup supaya tidak gagal di mahkamah,” kata beliau.
Pada hari Rabu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Amar Singh memberitahu wartawan barang kemas, jam tangan dan beg tangan mewah yang disita dianggarkan nilainya mencecah RM1 bilion.
Bagaimanapun, Najib, dalam satu wawancara eksklusif bersama Malaysiakini, menyifatkannya sebagai subjektif dan tidak realistik.
Najib juga mendakwa kebanyakan barangan itu merupakan hadiah yang diterimanya. Pihak polis masih sedang menganggarkan nilai baki 295 beg mewah lagi.
Sementara itu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkatal; kerajaan akan menjual kebanyakan barangan mewah yang dirampas dari kediaman Najib yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.
Bercakap kepada Associated Press (AP) dalam temu bual hari ini, Lim berkata barangan yang dianggarkan bernilai sehingga RM1.1 bilion itu, hanyalah sebahagian kecil daripada RM50 bilion yang didakwa disalahgunakan daripada 1MDB yang ditubuhkan Najib.
“Kita akan berusaha menukarkan kepada wang apa sahaja yang kita perolehi tetapi ingat ini sebenarnya tiada apa berbanding jumlah yang telah dirompak dari negara ini,” katanya.