no comments

Menteri Termuda Dalam Sejarah, Syed Saddiq Leburkan Rekod Najib

Ahli Parlimen Muar, YB Syed Saddiq Abdul Rahman, 25 tahun, telah mencipta rekod baru dalam legasi kepemimpinan muda dan menempa sejarah apabila dilantik memegang jawatan menteri penuh termuda di Malaysia dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan, sekali gus mencerminkan gagasan Malaysia Baharu kerajaan.

Sebelum ini, rekod pemimpin paling muda dalam Kabinet, disandang oleh Datuk Seri Najib Razak ketika dilantik sebagai Timbalan Menteri Tenaga, Telekomunikasi dan Pos pada 1978, ketika beliau berusia 25 tahun sebelum memegang jawatan Menteri Belia dan Sukan ketika berusia 33 tahun.

Mengulas pelantikan itu, Syed Saddiq berkata, penampilan beberapa pemimpin muda dalam barisan Kabinet membuktikan corak pentadbiran kerajaan secara menyeluruh, selain sentiasa mengutamakan merit dalam idea dan sumbangan tanpa mengira usia serta latar belakang.

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu berkata, komitmen dicerminkan kerajaan adalah bukti usaha untuk mengangkat suara anak muda akan terus dihargai.

“Saya baru saja selesai mengangkat sumpah di Istana Negara sebagai anggota Jemaah Menteri dan bakal menggalas tugas sebagai Menteri Belia dan Sukan bagi penggal ini.

“Saya memanjatkan rasa penuh syukur dan takzim ke hadrat Ilahi atas pelantikan ini.

“Sesungguhnya ia adalah amanah amat berat untuk saya pikul, namun ia berupaya digalas serta percaya kejayaan akan diraih bersama-sama kakitangan Kementerian Belia dan Sukan sebagai satu pasukan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Syed Saddiq berkata, pelbagai dasar dan rancangan untuk belia akan diangkat, selain dijadikan hala tuju Malaysia bagi memastikan golongan muda menjadi peneraju utama agenda pembangunan negara.

Katanya, kerajaan sentiasa menaruh kepercayaan bahawa nasib dan masa depan belia harus ditentukan oleh mereka sendiri, sekali gus menyaksikan ruang serta peluang secukupnya disediakan dalam membuktikan kemampuan golongan berkenaan sebagai penggerak hala tuju negara.

“Kerajaan juga berazam untuk memperjuangkan sukan tempatan secara lebih menyeluruh dan adil, malah Malaysia akan terus menempa kejayaan dalam pelbagai bidang seperti aspek pengurusan, kemudahan dan hal ehwal atlet yang menjulang kejayaan di arena tempatan dan antarabangsa.

“Nasib golongan atlet akan terus dibela dan dijaga,” katanya.

Selepas dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan ke-18, Syed Saddiq tidak mempunyai banyak masa apabila bakal menerima tugasan besar pertama ketika kontinjen negara akan bersaing pada Sukan Asia di Indonesia, Ogos ini.

Pengerusi Insititut Sukan Negara (ISN), Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi berkata, pelantikan Syed Saddiq adalah pemilihan tepat dengan ketua kontinjen negara ke Sukan Asia itu berharap pertemuan segera dapat dilakukan menjelang temasya itu yang akan berlangsung tidak lama sahaja lagi.

“Kami berharap mendapat sokongan penuh daripada Menteri memandangkan kita kesuntukan masa apabila Sukan Asia akan berlangsung dalam masa sebulan sahaja lagi.

“Ada beberapa perkara termasuklah soal perbelanjaan yang masih tergendala dan berharap dapat bertemu secepat mungkin memandangkan perkara itu memerlukan kelulusan menteri secepat mungkin,” katanya kepada Sukan NSTP.

Sementara itu, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria pula menyifatkan Syed Saddiq sebagai seorang pemimpin yang berkaliber dan juga ikon generasi muda.

“Saya yakin beliau akan mampu menyuntik semangat baru yang lebih segar terhadap pembangunan sukan negara.

“Kami di MOM akan memberi sokongan padu kepada beliau dan timbalan menteri (Steven Sim Chee Keong) dalam meneruskan usaha kerajaan meningkatkan prestasi sukan negara baik diperingkat elit mahupun komuniti,” katanya.

Norza juga berkata, MOM berhasrat menjalinkan kerjasama erat melonjakkan prestasi sukan negara di peringkat antarabangsa khususnya dalam mencapai hasrat negara membawa pulang emas pertama Sukan Olimpik di Tokyo 2020.

Reply