Senarai Penuh Menteri Kabinet Baru Malaysia!
Selepas lebih seminggu kemenangan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU), Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akhirnya menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di Istana Negara dan menyerahkan senarai nama Ahli Parlimen untuk dilantik sebagai Menteri Kabinet yang baharu.
Pelantikan itu adalah mengikut “perenggan (b) Fasal (2) Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.”
Tun Dr Mahathir diterima mengadap oleh Yang di-Pertuan Agong pada 5 petang hari tadi bersamaan 18 Mei 2018.
Berikut adalah senarai nama diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong:
Perdana Menteri
1. Tun Dr Mahathir Mohamad (BERSATU – Langkawi)
Timbalan Perdana Menteri
2. Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR – Pandan)
Barisan Menteri
BERSATU:
3. Menteri Dalam Negeri: Tan Sri Muhyiddin Yassin (Pagoh)
4. Menteri Pendidikan: Dr Maszlee Malik (Simpang Renggam)
5. Menteri Pembangunan Luar Bandar: Rina Harun (Titiwangsa)
PKR:
6. Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (Pandan)
7. Menteri Hal Ehwal Ekonomi: Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Gombak)
8. Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan: Datuk Zuraida Kamaruddin (Ampang)
DAP:
9. Menteri Kewangan: Lim Guan Eng (Bagan)
10. Menteri Pengangkutan: Anthony Loke Siew Fook (Seremban)
11. Menteri Komunikasi dan Multimedia: Gobind Singh Deo (Puchong)
12. Menteri Tenaga Manusia: M Kulasegaran (Ipoh Barat)
AMANAH:
13. Menteri Pertahanan: Mohamad Sabu (Kota Raja)
14. Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani: Salahuddin Ayub (Pulai)
15. Menteri Kesihatan: Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor)
Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan kepada nama dicadangkan dan istiadat mengangkat sumpah jawatan dan setia serta sumpah rahsia sebagai Menteri Persekutuan akan diadakan pada 11.30 pagi Isnin, 21 Mei 2018 di Istana Negara.
Tun M tidak meneruskan hasrat menyandang portfolio menteri pelajaran bagi menghormati manifesto Pakatan Harapan (PH).
Beliau berkata demikian menerusi video yang diterbitkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dimuat naik ke laman Facebook:
“Itu adalah kedudukan manifesto dan saya tidak dapat melanggarnya buat masa ini… (kecuali) jika ada permintaan yang perlu saya ambil pelajaran.
“Manifesto PH telah menjanjikan bahawa Perdana Menteri tidak akan mengambil jawatan menteri lain, terutamanya menteri kewangan.”
Berhubungan pengumuman pelantikan itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mahu mengadakan pertemuan dengan Tun M bagi membincangkan pelantikannya sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi Malaysia.
Mohamed Azmin berkata, pertemuan berkenaan berkemungkinan diadakan pada malam ini atau selewat-lewatnya esok.
“Saya tidak mendapat maklumat hingga sebentar tadi dan saya mengucapkan terima kasih kerana diberi kepercayaan untuk menerajui kementerian kanan.
“Saya juga sudah menyembah maklum kepada Sultan Selangor (Sultan Sharafuddin Idris Shah) sebentar tadi mengenai maklumat yang saya peroleh dan turut memaklumkan pertemuan saya dengan Dr Mahathir bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai pelantikan itu,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Beliau berkata, pertemuan bersama Perdana Menteri akan membincangkan skop tugas yang akan diamanahkan kepadanya.
“Seterusnya, selepas pertemuan itu saya akan mengadap Sultan Selangor esok untuk memutuskan di mana peranan dan tanggungjawab yang perlu saya mainkan sama ada kekal di Selangor atau bertukar ke Persekutuan.
“Sudah tentu beban tugas di peringkat Persekutuan amat besar memandangkan usaha-usaha untuk memulihkan ekonomi negara sedang giat dijalankan,” katanya.
Azmin berkata, beliau akan mengeluarkan kenyataan mengenai keputusan lantikan berkenaan selepas mengadap Sultan Selangor susulan perbincangan yang akan dilakukan dengan Dr Mahathir. Katanya, beliau tidak akan memegang dua jawatan, justeru perbincangan dengan Perdana Menteri perlu diadakan secepat mungkin.