Mengadu Kurang Selesa, Agong Kini Dimasukkan Ke IJN.. Minta Doa Seluruh Rakyat Malaysia
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kini menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) sejak dimasukkan semalam.
Beliau berkata, baginda dimasukkan ke Wad Diraja, IJN selepas mengadu kurang selesa dengan kesihatan.
“Adalah juga dimaklumkan bahawa Al-Sultan Abdullah dinasihatkan supaya diawasi oleh doktor ketika ini dan Seri Paduka Baginda tidak dalam keadaan yang membimbangkan.
“Baginda dijangka akan dibenarkan keluar dari IJN dalam waktu terdekat. Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang tiba di Kota Bharu, Kelantan semalam dalam rangka lawatan peribadi bergegas pulang pada hari ini untuk bersama dengan baginda,” katanya.
Tunku Hajah Azizah membatalkan lawatan itu yang dijadualkan selama tiga hari sehingga esok.
Seluruh rakyat Malaysia diseru untuk bersama mendoakan semoga baginda dikurniakan kesembuhan dengan segera serta dikurniakan kesihatan yang berpanjangan.