“Melayu Hilang Kerja Kalau Kelab Malam Ditutup Selamanya…”
Sehingga ke hari ini, pusat-pusat hiburan (kelab malam) masih tidak dibenarkan beroperasi oleh kerajaan sejak Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) pada Mac lalu.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ekonomi negara sudah menunjukkan tanda-tanda pemulihan ketika ini.
Muhyiddin ketika berucap di Konvensyen Setengah Tahun Perikatan Nasional (PN) di ibu negara pada 1 September lalu secara berseloroh berkata, bagus juga jika kelab malam tidak dibuka lagi selamanya.
“Yang tak buka hanya kelab malam dan saya fikir kalau tak buka selama-lamanya pun bagus juga kot,” katanya sambil tersenyum.
Kenyataan PM itu disambut baik oleh Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan beberapa Agensi dan NGO Islam.
Berikutan daripada cadangan untuk menutup pusat hiburan atau kelab malam untuk selama-lamanya itu, satu petikan yang dimuatnaik di laman Facebook ‘DAP Perak’ mengecam saranan tersebut dan menyifatkan PAS sebagai munafik.
” PAS tak kisah ramai pekerja pusat hiburan termasuk Melayu yang hilang kerja. PAS tak kisah ramai premis perniagaan yang tutup dan muflis. PAS tak kisah pun industri Perlancongan negara kita terjejas dan negara hilang hasil.”
” Yang PAS kisah pangkat dan jawatan untuk pemimpin mereka je. Inilah politik hipokrit penunggang agama. Dibawah PN, Malaysia semakin ketinggalan…!! ”
Terdahulu, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Khairuddin Aman Razali menyokong kenyataan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengenai operasi pusat hiburan di negara ini.
Katanya, sebenarnya hanya segelintir saja masyarakat negara ini yang suka berpesta dan mengunjungi pusat hiburan. Memang bagus jika pusat hiburan di negara ini ditutup selama-lamanya.
“Kenyataan PM tepat. Kalau tak buka selamanya pun tak apa. Berhibur sahaja di rumah masing-masing bersama rakan dan taulan,” katanya.
Kenyataan Muhyiddin itu bagaimanapun mendapat reaksi kurang senang pemuzik dan pemilik pusat hiburan.
Antara yang turut meluahkan rasa kecewa dengan kenyataan Muhyiddin ialah Presiden Persekutuan Industri Hiburan Malaysia, Liew Poon Siak dan Felo Penyelidik di Institut Pengajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia, Adil Johan.