Kuala Lumpur Akan Jadi Wilayah Bebas Berniaga Mulai 15 Nov Ini, Pohon Lesen Percuma & Meniagalah Di Mana-mana
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kini memberi kebenaran kepada warga kota untuk membuka gerai atau perniagaan secara kecil-kecilan di mana-mana kawasan yang sesuai di sekitar bandar raya, mulai Ahad ini.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata bagaimanapun peniaga perlu memohon lesen perniagaan sementara yang sah selama enam bulan di laman web DBKL, yang ditawarkan secara percuma.
“Mulai Ahad 15 Nov ini, Kuala Lumpur akan menjadi ‘wilayah bebas berniaga’, sesiapa yang ingin berniaga tidak kira sepenuh masa atau separuh masa boleh memilih tempat yang sesuai, misalnya depan rumah atau di tepi jalan kawasan perumahan.
“Permohonan lesen itu bertujuan untuk makluman dan rekod data DBKL sahaja. Pemohon akan mendapat lesen sementara secara automatik dan kemudian DBKL akan membuat pemantauan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Annuar berkata beliau juga telah mengadakan perbincangan dengan majlis perwakilan penduduk di ibu negara mengenai perkara itu agar pihak berkenaan memberi kerjasama dengan melakukan pemantauan di peringkat komuniti.
Beliau seterusnya mengingatkan para peniaga agar tidak berniaga di lokasi yang boleh mengancam keselamatan awam, menyebabkan kesesakan lalu lintas, dan perlu menjaga kebersihan makanan dan persekitaran tempat perniagaan.
Terdahulu, Annuar menyerahkan bantuan gerai, lesen penjaja dan sebuah unit Projek Perumahan Rakyat kepada Nurjahan Mariamah Abdullah, 45, yang hilang pekerjaan sebagai tukang cuci akibat COVID-19 dan kini terpaksa menjual nasi lemak dan bihun menggunakan troli di sekitar Taman Desa.
Kisah ibu tunggal dikenali sebagai Puan Mary yang perlu menanggung tiga anak dan ibunya, mula tular sejak beberapa minggu lepas dan mendapat perhatian ramai, termasuk Annuar dan DBKL.
Sementara itu, Nurjahan Mariamah melahirkan rasa syukur atas bantuan yang diberi dan beliau bertekad akan memanfaatkan peluang itu sebaiknya untuk menjana pendapatan dan menaikkan taraf hidup.
“Selepas ini saya tidak perlu lagi berjalan kaki dan membahayakan diri untuk berniaga, orang ramai yang ingin beli nasi lemak dan bihun, lebih senang cari saya di gerai,” katanya.
Annuar berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) juga diminta mengeluarkan garis panduan dalam tempoh terdekat mengenai tatacara perlu dipatuhi orang ramai yang mahu berniaga kelak.
“Mereka yang mahu berniaga boleh memohon lesen sementara daripada PBT masing-masing dan memulakan perniagaan pada 15 November ini.
“Ramai yang terkesan daripada PKPB dan COVID-19. Ini inisiatif kerajaan untuk membantu golongan terkesan meneruskan kehidupan dalam tempoh mencabar ini,” katanya.
Beliau berkata lagi, kementerian juga akan mempertimbangkan untuk melanjutkan tempoh berkenaan sekiranya inisiatif ini mendapat sambutan menggalakkan warga Wilayah Persekutuan.
Walaupun tidak menghalang rakyat negeri lain berniaga, Annuar berkata, keutamaan tetap diberikan kepada warganegara yang menetap di Wilayah Persekutuan.