no comments

Kritikan Mantap Dari KJ Terhadap Tun M Berhubung Projek Kereta Nasional Baru

Bekas Menteri Belia & Sukan, Khairy Jamaluddin menjadi orang pertama bersuara berhubung langkah kerajaan yang ingin mewujudkan satu lagi projek kereta nasional baharu. Jelas Khairy, projek itu adalah satu langkah regresif dan terkebelakang.

Ahli Parlimen Rembau itu berkata, projek itu bukan sahaja tidak mesra alam dari segi pelepasan karbon dioksida, tetapi juga bakal menelan belanja yang besar kepada Kerajaan yang sepatutnya disalurkan kepada pembangunan projek pengangkutan awam.

“Sejak 1984 Kerajaan menyalurkan pelbagai bantuan kewangan merangkumi pinjaman mudah dan geran berjumlah RM15.3 bilion kepada Proton.

“Projek kereta nasional seperti ini juga akan menambah kos kepada rakyat melalui duti eksais yang mencecah sehingga 105 peratus yang membebankan pengguna yang ingin membeli kereta jenama selain kereta nasional,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khairy berkata demikian merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir pada Persidangan Antarabangsa Masa Depan Asia (Persidangan Nikkei) ke-24 di Tokyo bahawa Malaysia bakal memulakan sebuah lagi projek kereta nasional.

Namun, mengulas lanjut, Khairy berkata, melainkan projek kereta nasional baharu ini akan menghasilkan kereta elektrik sepenuhnya.

“Saya tidak nampak kebaikan dan manfaatnya kepada rakyat, ekonomi negara dan alam sekitar. Ini juga banyak bergantung kepada kemampuan kita dalam mencapai ekonomi skala atau ‘economies of scale’. Kalau skala pengeluarannya kecil, sasaran impak ekonomi yang diingini mungkin tidak akan dicapai,” katanya.

Tegasnya, kerajaan melalui Jemaah Menteri perlu memperhalus cadangan ini sebaik-baiknya sebelum bersetuju untuk meneruskan projek ini.

Namun besar harapannya agar keutamaan masa dan sumber dapat diberikan kepada penambahbaikan sistem pengangkutan awam seperti kerjasama dengan pihak swasta dalam menambah baik “last-mile connectivity” seperti solusi e-hailing dengan menggunakan kenderaan dan motosikal, kajian menyeluruh dari segi kemungkinan (feasibility) termasuk bagaimana untuk mengurangkan kos untuk projek MRT 3 dihidupkan semula pada masa akan datang atau dengan menggunakan sistem yang lebih menjimatkan kos seperti Bas Rapid Transit (BRT) yang tidak hanya tertumpu di Lembah Klang sahaja.

 

Bayangan kerajaan yang bakal memulakan projek kereta nasional baru itu juga mendapat pelbagai reaksi rakyat, kebanyakan netizen di facebook memohon supaya Tun Mahathir menaiktaraf pengangkutan awam yang lebih cekap terlebih dahulu berbanding projek kereta nasional seperti yang diumumkan.

Dalam pada itu juga, bekas perdana menteri Datuk Seri Najib, turut menggesa kerajaan untuk melaksanakan projek pengangkutan awam, berbanding projek kereta nasional baharu.

Katanya, “kerajaan sepatutnya meneruskan projek pengangkutan awam seperti Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) dan Tren Aliran Massa 3 (MRT3).

“Jangan batalkan projek pengangkutan awam semata-mata kerana saya laksanakannya dan kembali kepada projek lama atas sebab maruah yang hanya akan membebankan rakyat.”

“Langkah untuk mewujudkan satu lagi projek kereta nasional dengan melaksanakan semula langkah perlindungan hanya akan membebankan rakyat dengan kenaikan harga kereta dan kos pembiayaan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya, hari ini.

Reply