no comments

Kos ECRL RM10 Bilion Tak Logik! -Najib

“Perdana Menteri berkata terdapat syarikat tempatan yang boleh membina ECRL pada kos RM10 bilion sahaja. Bagi jarak 688 km, ia bermasuk kos hanya RM14.5 juta bagi setiap kilometer,” kata Najib.

“Kos tersebut tidak realistik kerana hanya menelan RM14.5 juta untuk setiap kilometer (km) bagi projek yang melibatkan jajaran dengan jarak 688 km itu.”

“Adakah harga ini realistik jika dibandingkan dengan projek-projek lain?,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya hari ini.

Najib turut menyertakan beberapa contoh kos projek keretapi di negara lain antaranya projek keretapi laju menghubungkan lapangan terbang Suvarnabhumi, Don Mueang and U-Tapao di Thailand dengan jajaran 260 km dan melibatkan kos RM113 juta bagi setiap kilometer.

Manakala, projek keretapi laju Indonesia dari Jakarta ke Bandung dengan jajaran 250 km menelan kos RM96.8 juta bagi setiap kilometer.

Dalam kenyataan sama, Najib turut meminta Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menjelaskan mengenai kos ECRL yang dikatakan hanya RM30 bilion berbanding RM50 bilion.

“Melalui banyak kenyataan sejak dua tahun dahulu sehingga hari ini, PH tetap bertegas bahawa kos sebenar projek ECRL adalah RM30 bilion dan berdasarkan nomber RM30 bilion ini, mereka menuduh kos RM55 bilion adalah terlalu mahal dan sengaja dinaikkan.

“Saya perlu tanya soalan ini kepada Menteri Kewangan, dari mana beliau mendapat angka itu, berapa kilometer bagi nilai RM30 bilion itu dan unjuran kos itu diperolehi dari tahun bila? Kerajaan hari ini tidak sepatutnya menggunakan angka kos untuk membuat dakwaan yang mereka sendiri tak berupaya membuktikannya atau dengan sokongan fakta,” katanya.

Menurut Najib, kos RM30 bilion adalah berdasarkan kajian pada 2009 bagi jajaran berbeza dan adalah bagi jarak 545 km.

“Ia tidak mencakupi jajaran Gombak ke Pelabuhan Klang, di mana tujuh tahun kemudian apabila ECRL dianugerahkan pada 2016, tukaran matawang kita lemah dan ia melibatkan jajaran dengan jarak 688 km termasuk segmen bagi Pelabuhan Klang.

“Adakah kos RM30 bilion yang sering disebut PH ialah berdasarkan laporan tahun 2009 ini yang banyak berbeza dengan projek kos RM55 billion tujuh tahun kemudian,” katanya.

Ahli Parlimen Pekan itu juga membidas Guan Eng yang mengatakan kos ECRL mencecah RM81 bilion termasuk kos faedah dan operasi.

“Ia diibaratkan seperti membeli kereta pada harga RM55,000, kemudian memasukkan kos minyak, kos sewa beli, kos penyelenggaraan, kos insurans sepanjang hayat kereta itu dan cakap kos kereta itu ialah RM81,000.

“Apabila negara lain mengumumkan tentang projek rel masing-masing, mereka tidak memasukkan kos faedah dan operasi seumpama itu. Untuk itu, Malaysia seharusnya melakukan perkara yang sama,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir mendakwa kerajaan menerima tawaran membina ECRL yang akan menghubungkan Kelantan ke Pelabuhan Klang dengan kos serendah RM10 bilion.

Jelas beliau, kerajaan sudah tentu akan menimbangkan pilihan yang lebih murah kerana tidak cerdik kalau menghiraukannya.

“Ada yang kata mereka boleh buat ECRL dengan RM10 bilion bukannya RM55 bilion. Sesetengahnya syarikat China, ada juga syarikat tempatan. Kita perlu berbincang dengan mereka sekiranya ada kemungkinan untuk mengurangkan kos daripada RM55 bilion kepada RM10 bilion, tidak cerdik kalau kita tidak terima.

“Adalah bodoh jika tidak menerima tawaran tersebut kerana dapat mengurangkan kos ECRL daripada RM55 bilion kepada RM10 bilion.”

“Tetapi kita perlu kaji apakah kita sebenarnya boleh kurangnya kosnya sehingga sebanyak itu, katanya.

Tambah Perdana Menteri lagi, kerajaan sedia membayar lebih lagi (daripada RM10 bilion) tetapi sudah tentu bukannya RM55 bilion untuk landasan kereta api itu.

“Membayar RM55 bilion untuk sesuatu yang anggaran tertingginya hanya RM30 bilion tidak baik untuk kedudukan kewangan kita,” katanya.

Dalam lawatan lima hari ke China baru-baru ini, Dr. Mahathir berkata, projek ECRL dan Saluran Gas Paip Trans-Sabah (TSGP) yang bernilai berbilion ringgit, dibatalkan.

Walau bagaimanapun, beliau kemudiannya berkata, kerajaan sedang mengkaji sama ada menangguhkan sementara atau mencari kaedah lain untuk melaksanakan projek ECRL dan projek lain yang berkaitan dengan China.

Reply