no comments

Bantah Cara Pelantikan Speaker: KJ Perjelas Mengapa Tak Ikut Keluar Dewan

Tindakan tidak ikut serta keluar Dewan Rakyat seperti yang dilakukan oleh rakan pimpinan BN dan Pas pagi tadi adalah kerana menghormati majlis, kata Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.

Katanya, meskipun ada pertikaian berkenan dengan pelantikan Speaker Dewan Rakyat, namun katanya keluar Dewan bukan cara kita menyatakan bantahan.

“Hari ini merupakan hari kita mengangkat sumpah jadi kita perlu hormati Dewan dan juga menghormati majlis angkat sumpah.

“Cara mana kita nak bantah itu kita boleh buat sewaktu perbahasan nanti atau selepas upacara perasmian pembukaan pada hari esok dalam perbahasan atau melalui ‘standing order’ pada hari Rabu,”katanya kepada pemberita di Parlimen, hari ini.

Katanya, pada pandangan beliau hari ini lebih baik ahli Dewan menghormati majlis.

“Dan kita tak buat apa tindakan yang mencemarkan imej BN sebagai pembangkang yang berwibawa, dan ini saya bercakap bagi diri saya,”katanya.

Pagi tadi, ahli Parlimen BN dan Pas keluar Dewan Rakyat sebagai tanda protes pelantikan Speaker Dewan Rakyat baharu, Datuk Mohd Ariff Md Yusof.

Protes ini tercetus kerana pelantikan bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof sebagai Speaker Dewan Rakyat ke-9 pada hari ini menggantikan Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Ketegangan bermula apabila Setiausaha Dewan Rakyat,Datuk Roosme Hamzah bangun mengumumkan pelantikan Speaker Dewan Rakyat yang baharu, tiba-tiba ahli Parlimen BN dan Pas memintas menyatakan lantikan itu tidak sah.

Difahamkan, selain Khairy, Datuk Seri Anifah Aman (Umno-Kimanis) turut tidak meninggalkan dewan.

Sementara itu, Bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak mendesak Khairy dan Anifah menjelaskan tindakan mereka kekal di dalam Dewan Rakyat kepada parti.

Najib berkata tindakan KJ dan Anifah yang tidak selari dengan pimpinan UMNO lain harus diberikan penjelasan.

“Tindakan KJ dan Anifah yang enggan keluar dewan bersama Ahli Parlimen UMNO yang lain akan diputuskan oleh oleh parti.

“Biar UMNO yang putuskan tindakan terhadap mereka berdua, walau apa pun keputusannya KJ dan Anifah perlu jelaskan kepada parti sebab mengapa mereka bertindak sedemikian,” katanya ketika ditemui di Lobi Parlimen.

Hari ini, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman menjadi dua ahli parlimen pembangkang yang kekal di dalam Dewan Rakyat apabila kesemua Ahli Parlimen BN yang lain keluar dewan bersama Ahli Parlimen Pas sebagai tanda protes proses pelantikan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof.

Mereka berdua tidak mengendahkan desakan pemimpin UMNO lain yang keluar Dewan Rakyat.

Reply