no comments

KJ Sokong Kerajaan PH Mungkiri 2 Janji Dalam Manifestonya

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin sedia memaafkan dan menyokong kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk memungkiri dua janji manifestonya ketika kempen PRU14 lalu demi kebaikan ekonomi negara.

Dua janji tersebut adalah pemansuhan GST dan penangguhan pembayaran semula hutang PTPTN bagi peminjam bergaji bawah RM4,000.

“Janji adalah untuk dimungkiri (Promises are meant to be broken). Mungkiri janji anda berkenaan GST,” katanya ketika berucap dalam sesi perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang Di-pertuan Agong pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau mendakwa kadar GST yang disifarkan sejak 1 Jun lalu gagal menurunkan harga barang.

“Menteri Kewangan akui GST lebih telus dan efisien, mengapa tidak rendahkan kadarnya yang membawa kutipan hasil sama seperti SST, dan tambah barang yang dikecualikan cukai itu?

“Ini langkah ke belakang, tiada negara akan menggantikan GST dengan SST,” katanya lagi.

Berhubung janji penangguhan bayaran PTPTN pula, Khairy berkata ia hanya menambahkan beban hutang yang ditanggung kerajaan.

Katanya, ini kerana PTPTN mungkin terpaksa meminjam daripada institusi kewangan jika tidak boleh mengutip hutang dan akan mengadai masa depan anak-anak muda.

“PTPTN perlu RM5 bilion setahun untuk tampung pinjaman. Kerajaan melepaskan peminjam bermasalah daripada senarai hitam, tapi PTPTN terpaksa buat pinjaman baru daripada institusi kewangan pada kadar faedah 5%-6%.

“PTPTN adalah liabiliti kontinjen kerajaan.”

“Oleh kerana Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad cakap manifesto bukan kitab suci, jangan laksanakan janji atas sebab populis tapi mudaratkan negara. Tolong jadi rasional.” katanya.

“Saya sedia maafkan kerajaan jika tidak penuhi dua janji ini,” tambahnya lagi.

Sementara itu, ketika ditemubual, Khairy berkata beliau kini akhirnya kembali bercakap semula dengan presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sejak tidak menyertai anggota pembangkang lain keluar dewan di hari pertama sidang Dewan Rakyat, minggu lalu.

“Memang ada sedikit ketegangan, saya lawan dia (dalam pemilihan presiden Umno). Tapi selain daripada itu, dia seperti abang saya, hubungan kami baik.”

“Dia bercakap dengan saya sebentar tadi, untuk kali pertama sejak ‘walkout’.

“Dia kata ‘anda berucap hari ini?’ dan say jawab ‘ya,” kata Khairy ketika ditemui pemberita di lobi parlimen hari ini.

Ketika ditanya mengapa beliau dilihat lebih gembira berbanding kebiasaan pada hari ini, Khairy tersenyum dan berkata ia kerana “presiden Umno bercakap dengan saya”.

Dalam pemilihan Umno bulan lalu, Zahid menewaskan Khairy dan seorang lagi calon, Tengku Razaleigh Hamzah dalam perebutan jawatan presiden.

Terdahulu, Zahid mendakwa telah menawarkan tiga jawatan kepada Khairy namun ditolaknya.

Reply