no comments

Ketua SPRM Letak Jawatan!

Selepas tampuk pemerintahan Malaysia bertukar tangan, Tan Sri Dzulkifli Ahmad selaku Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini membuat keputusan untuk meletakkan jawatan dalam suruhanjaya itu.

Menurut sumber, surat peletakan jawatannya diserahkan kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Ali Hamsa, pagi tadi.

Perdana menteri baru, Tun Dr Mahathir Mohamad bertemu Ali dan pegawai agensi kerajaan kanan yang lain, di Yayasan Kepimpinan Perdana, di Putrajaya, awal hari ini.

“Surat itu telah dihantar kepada (PM) Mahathir untuk kelulusan.

“Ia masih belum diputuskan siapa yang akan mengisi kekosongan itu,” kata sumber.

Dzulkifli, 50, dilantik memegang jawatan tertinggi SPRM pada 1 Ogos 2016 bagi menggantikan Tan Sri Abu Kassim Mohamed yang ditempatkan sebagai Pakar Perunding Integriti, Fakulti Undang-undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Bagaimanapun nama Abu Kassim kini disebut-sebut bakal memegang jawatan itu sekali lagi susulan peletakan jawatan Dzulkifli.

Selepas Pakatan Harapan membentuk kerajaan berikutan kemenangan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu, Mahathir memberi amaran bahawa ketua-ketua agensi kerajaan termasuk SPRM akan turut disiasat.

Beliau tidak menolak kemungkinan berlaku perubahan dalam kepimpinan atasan SPRM jika didapati badan pencegah rasuah itu tidak berlaku adil.

“Kita akan kaji sama ada SPRM adil atau tidak. Jika kita dapati bahawa mereka berat sebelah selama ini dalam apa jua cara, termasuk terhadap diri kita sendiri, kita perlu menukar mereka.

“Seperti yang dijanjikan, semua ketua (agensi) utama yang baru akan disaring oleh parlimen,” katanya.

Terdahulu, Tun M mengumumkan bahawa perkhidmatan Peguam Negara sedia ada telah ditamatkan serta merta.

Beliau berkata, tindakan menyingkirkan Tan Sri Mohamed Apandi Ali itu dibuat susulan beberapa keputusan salah yang dibuatnya sebelum ini.

Jelasnya, kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan menyekat mana-mana pihak yang mungkin terlibat dalam kes salah laku atau membuat keputusan salah.

“Buat masa ini, tiada Peguam Negara,” kata Perdana Menteri.

Reply