no comments

Bekas Ketua Perisikan Luar Malaysia Ditahan SPRM

Bekas ketua pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini kerana disyaki terbabit dalam salah guna kuasa dan penyelewengan dana milik kerajaan bagi peruntukan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Datuk Hasanah, 61 tahun, ditahan jam 4.15 petang tadi selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM. Hasanah dijangka akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya esok bagi mendapatkan perintah reman.

Penahanan itu dilakukan sehari selepas SPRM menahan timbalan ketua pengarah bahagian sama di Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang juga bergelar Datuk bersama enam pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) bahagian berkenaan bagi membantu siasatan kes yang sama.

Timbalan ketua pengarah itu bersama enam PTD terbabit yang berusia antara 34 hingga 49 tahun ditahan di Kompleks B, JPM serta Ibu Pejabat SPRM, semalam.

Sumber memberitahu siasatan awal mendapati wanita itu bersama tujuh lagi pegawai kanan terbabit menyalahgunakan wang peruntukan itu bagi tujuan peribadi.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki, mengesahkan penahanan bekas ketua pengarah terbabit.

“Suspek (bekas ketua pengarah) akan direman di Mahkamah Majistret Putrajaya esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Hasanah pernah terpalit kontroversi apabila dikatakan menulis surat kepada Agensi Penyiasatan Pusat (CIA) yang meminta sokongan Amerika Syarikat (AS) terhadap BN.

Dalam surat yang didakwa bertarikh 4 Mei tahun ini dan dialamatkan kepada Pengarah CIA, Gina Haspel, Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak digambarkan sebagai rakan kepada AS.

Dalam surat itu juga, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad disifatkan sebagai ‘anti-Barat dan anti-Yahudi’.

Pada 31 Julai lalu, Hasanah membuat laporan polis mengenai dakwaan tersebut di Balai Polis Travers, Kuala Lumpur dan beliau menegaskan surat itu tiada kaitan dengan Najib.

Susulan itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun pada 14 Ogos lalu berkata, polis telah mengambil keterangan Hasanah berhubung siasatan kes berkenaan dan pihaknya juga akan merakam percakapan beberapa individu termasuk pegawai dari bahagian berkenaan yang berada di Washington.

Reply