no comments

Ketua Hindraf Masuk Dalam Kerajaan PH, Dilantik Timbalan Menteri

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, kembali membawa Pengerusi Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf), P Waythamoorthy, masuk ke dalam kabinet kerajaan selepas 4 tahun meletak jawatan sebagai timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri dibawah kerajaan terdahulu.

Difahamkan, Waythamoorthy yang genap 52 tahun hari ini, akan mengangkat sumpah sebagai senator esok, sebelum ke Istana Negara untuk upacara pelantikan menteri.

Waythamoorthy menjadi tumpuan media pada 2007 apabila beliau dan beberapa aktivis, termasuk abangnya yang juga peguam hak asasi, P Uthayakumar terbabit dalam protes besar-besaran anjuran Hindraf di Kuala Lumpur untuk memperjuangkan hak masyarakat India.

Protes itu dianggap pemangkin bagi “tsunami politik” pada pilihan raya umum (PRU) 2008 yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) kehilangan majoriti 2/3 di Parlimen.

Lima tahun kemudian, Waythamoorthy memeterai persefahaman dengan Pengerusi BN ketika itu, Datuk Seri Najib Razak dan dikritik abangnya, Uthayakumar.

Selepas BN meneruskan pemerintahan pada PRU 2013, Waythamoorthy dilantik sebagai sentor dan timbalan menteri, sebelum beliau meletak jawatan beberapa bulan kemudian pada awal 2014.

Beliau dilaporkan kecewa dengan kerajaan pimpinan Najib yang gagal memenuhi janji untuk menyelesaikan masalah masyarakat India.

Waythamoorthy terus menentang BN dan menemui Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Ogos 2017 untuk menyuarakan sokongan dan membantu gabungan 4 parti itu berkempen pada PRU14.

Antara nama lain yang dijangka akan dilantik senator ialah Liew Chin Tong (DAP), Raja Kamarul Bahrin Shah (AMANAH) dan Husam Musa (AMANAH).

Mereka dipilih oleh kerajaan persekutuan dan akan dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong esok.

Tiga lagi yang bakal menjadi senator melalui kuota kerajaan persekutuan adalah Datuk Ismail Bahrin, Mohd Radzi Md Jidin dan marzuki Yahya.

Sebelum ini Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata baki kekosongan dalan kerajaan akan diisi oleh senator.

Kemungkinan besar mereka di kalangan enam bakal senator itu. Pada masa ini, akan menyaksikan terdapat 27 menteri dan 23 timbalan menteri.

Reply