no comments

Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan Pula Letak Jawatan

Ketua Hakim Negara, Tun Raus Sharif letak jawatan dan ikuti Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin yang melepaskan jawatannya sebagai presiden Mahkamah Rayuan.

Kenyataan Pejabat Ketua Pendaftar, Mahkamah Persekutuan Malaysia menyebut kedua-dua mereka mengutus surat peletakan jawatan masing-masing kepada Yang di-Pertuan Agong pada 7 Jun lalu.

Peletakan jawatan itu akan berkuat kuasa pada 31 Julai, menurut kenyataan itu lagi.

“Peletakan jawatan itu telah diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 8 Jun 2018 dan dimaklumkan melalui surat Setiausaha Sulit, Bahagian Urusan Diraja, Istana Negara bertarikh 11 Jun 2018,” kata pejabat itu.

Dalam kenyataan hari ini, pejabat Ketua Pendaftar juga berkata ada 15 Mei lalu Raus dan Zulkefli bertemu dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahthir Mohamada dan menyampaikan hasrat berundur.

“Bagaimanapun, Yang Amat Arif-Yang Amat Arif telah memaklumkan kepada YAB perdana menteri bahawa peletakan jawatan itu akan berkuat kuasa pada tarikh yang munasabah untuk membolehkan segala urusan kehakiman diselesaikan,” menurut kenyataan itu.

Dalam sidang media di Tokyo semalam, Tun M berkata, Majlis Penasihat Kerajaan sudah memberi isyarat kepada 2 hakim tertinggi itu, adalah baik mereka meletak jawatan sendiri.

Perdana menteri berkata, jika tidak, kerajaan mungkin terpaksa mengambil tindakan menyingkir mereka kerana “kami percaya lanjutan tempoh mereka memegang jawatan hakim kanan tidak betul”.

“Majlis Peguam dan peguam terkemuka lain berpendapat lanjutan seperti itu tiada kewajaran, ia tidak pernah dilakukan sebelum ini. Kami telah memberi hakim sehingga umur 65 tahun untuk berkhidmat sebagai hakim, tetapi melanjutkan tempoh perkhidmatan mereka bermakna menafikan peluang hakim lain untuk kenaikan pangkat.”

Untuk rekod, Tan Sri Md Raus Sharif, dilantik sebagai Ketua Hakim Negara pada 1 April 2017. Dijadualkan bersara pada 3 Ogos serta 27 September lalu, selepas mencapai usia persaraan mandatori, iaitu 66 tahun 6 bulan. Namun disambung khidmatnya.

Reply