no comments

Kesultanan Johor Tak ‘Makan’ Duit Rakyat

Kekayaan dan kemewahan kesultanan Johor memang tidak boleh disembunyikan lagi. Kekayaan itu pastinya ramai yang mempertikaikan dari mana sumber kewangan diraja ini.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, bagaimanapun bertitah Kesultanan Johor tidak guna wang rakyat.

Baginda bertitah, pendapatan Kesultanan Johor datang daripada pengurusan perladangan sejak zaman Sultan Sir Ibrahim sehingga kini dan beberapa perniagaan lain termasuk hartanah.

Titah baginda, Kesultanan Johor juga tidak mengambil gaji yang diperuntukan kepada sultan.

“Sejak zaman pemerintahan Sultan Sir Ibrahim Sultan Abu Bakar pada tahun 1899, Kesultanan Johor telah mendermakan gaji sebagai sultan yang diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri Johor bagi membantu Bangsa Johor yang memerlukan,” titah baginda sebagaimana dipetik daripada Facebook rasmi The Royal Johor.

Baginda bertitah, usaha berkenaan kemudiannya diteruskan dan diseleraskan pada zaman pemerintahan Sultan Iskandar Sultan Ismail di mana dana tersebut disalurkan kepada satu tabung yang dikenali sebagai Yayasan Sultan Iskandar.

“Malah, ketika Baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-8 (1984-1989), kesemua gaji dan elaun yang diterima daripada Kerajaan Persekutuan turut diberikan kepada yayasan tersebut.

“Dana yayasan bukan sahaja membantu rakyat miskin, malah turut digunakan bagi membiayai pelajaran, bantuan bencana alam serta projek literasi komputer,” titah baginda.

Sultan Ibrahim bertitah, baginda turut mempunyai yayasan sendiri.

“Yayasan bertujuan beri bantuan pendidikan, kebajikan, biasiswa pelajar miskin, perubatan serta bantuan kepada warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

“Dana untuk yayasan berkenaan adalah sumbangan daripada semua elaun diraja yang diterima,” titah baginda.

Selain memiliki peniagaan hartanah, Sultan Johor juga merupakan pemegang saham kedua individu terbesar 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd apabila baginda kini memegang 9.22% pegangan saham syarikat tersebut.

Melalui Bursa Saham, baginda telah membuat penambahan 2.44 juta saham sekitar 28 ke 30 Ogos tahun lalu. Selepas pengambil alihan terbaru ini, baginda kini mempunyai pegangan di 7-Eleven sebanyak 102.40 juta saham.

Sultan Ibrahim terkenal sebagai seorang pelabur yang bijak dengan memilih syarikat dan perniagaan yang mempunyai asas yang kukuh serta potensi pertumbuhan yang baik. Baginda turut mempunyai pegangan saham dalam syarikat telco U Mobile sebanyak 15%.

Reply