no comments

“Kerajaan PH Nak Wujudkan Negara Liberal”

Berhubung kemelut isu tidak mendapat perkenan daripada Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, Datuk Razlan Rafii berkata kerajaan seharusnya lebih bersikap sensitif sebelum mencadangkan Tommy Thomas sebagai peguam negara (AG).

Dalam kenyataannya semalam, Ketua Umno Wilayah Persekutuan itu turut mendakwa cadangan yang dibuat kerajaan itu adalah kerana ingin mewujudkan negara liberal.

“Walaupun ramai pendokong dasar pentadbiran Kerajaan hari ini berfikiran liberal namun perlu adil kepada DYMM Agong kerana Malaysia masih lagi terikat dengan tatasusila Perlembagaan.

“Tommy yang terkenal dengan kes pembelaan Chin Peng, seorang komunis yang dibela oleh beliau melalui buku beliau sebagai pejuang kemerdekaan,” katanya.

Razlan merujuk artikel Tommy yang diterbitkan pada 2016 dengan tajuk ‘Anything but the Law‘ yang menggambarkan pemimpin Parti Komunis Malaya itu menyumbang kepada kemerdekaan Tanah Melayu.

“Ada banyak lagi sebab kenapa Tommy tidak sepatutnya dicadangkan untuk jawatan peguam negara, namun kerajaan memgambil risiko ini hanya kerana mahu sengaja mewujudkan polemik di dalam negara demi mewujudkan sebuah negara yang liberal.

“Saya nasihatkan kerajaan untuk terus berpegang kepada Prisip Negara yang berpegang kepada Raja Perlembagaan, dan pilihlah peguam negara yang adil dan saksama untuk menasihatkKerajaan, bukannya seorang boleh dikhuatiri peganganya terhadap perlembagaan dan kemungkinan akan membawa bahana terhadap keputusan kerajaan sekira pertembungan diantara isu agama,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda GERAKAN Andy Yong mengulas perkara itu berkata, sekarang adalah masa yang sesuai untuk memisahkan peranan peguam negara dan pendakwa raya.

Jelasnya, kerajaan persekutuan yang diterajui HARAPAN seharusnya meminda undang-undang untuk tidak membenarkan individu sama memainkan kedua-dua peranan kerana ia boleh menyebabkan konflik kepentingan terutamanya dalam kes yang melibatkan pemimpin berpengaruh.

“Peguam negara yang bebas merupakan perkara penting bagi memastikan keadilan bukan saja dilaksanakan tapi juga terlihat dilaksanakan.

“Seorang peguam negara yang bebas boleh berkhidmat untuk kerajaan memerintah secara berkesan, memastikan kerajaan bertindak mengikut undang-undang.

“Pendakwa raya yang bebas pula akan mampu mendakwa penjenayah, tanpa mengira latar belakang mereka,” katanya.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan tidak akan mengabaikan agama Islam yang merupakan agama rasmi persekutuan selain memelihara kebebasan beragama penganut agama lain.

Dr Mahathir berkata, tuduhan sesetengah pihak bahawa pentadbiran HARAPAN tidak membela dan mempertahankan agama Islam adalah tidak tepat.

“Kita akan dirikan kerajaan yang berpegang kepada undang-undang dan tidak akan lakukan sesuatu yang bertentangan dengan agama Islam.

“Kalau kita berpegang kepada ajaran Islam sebenar, ia akan menentukan negara kita ditadbir mengikut landasan undang-undang dan prihatin serta peduli kepada rakyat,” katanya di Majlis Iftar BERSATU di Putrajaya, hari ini.

Reply