no comments

Kerajaan Perlu Tangguh: Naikkan Tarif Elektrik Boleh ‘Membunuh’ Kesan Baik Hapus GST

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, berkata pelarasan tarif elektrik yang berkuatkuasa semalam memberi kesan secara langsung kepada pengguna domestik dan bukan domestik.

Justeru, beliau menggesa kerajaan mengkaji semula keputusan menaikkan tarif elektrik ekoran pelarasan Kos Pelepasan Tidak Seimbang (ICPT) bagi mengelak peniaga menjadikan alasan itu untuk tidak menurunkan harga barangan selepas pelaksanaan kadar sifar cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Rafizi berkata, “walaupun pada dasarnya, saya cukup faham bahawa kerajaan Persekutuan bawah Pakatan Harapan cuba sedaya upaya untuk meringankan beban rakyat terbanyak dengan mengenakan surcaj ICPT hanya kepada pengguna bukan domestik, perkara ini perlu diperhalusi lagi untuk mengelakkan ia (keputusan menaikkan harga elektrik) menggagalkan segala usaha Pakatan Harapan mengawal harga barang.”

Pelarasan harga elektrik yang berkuatkuasa 1 Julai 2018 ini memberi kesan secara langsung kepada pengguna domestik dan bukan domestik, seperti berikut:

Pengguna bukan domestik tidak lagi mendapat rebat sebanyak 1.52sen setiap kWj yang dipakai, bermakna harga elektrik naik 1.52sen setiap kWj

Pada masa yang sama, pengguna bukan domestik juga akan membayar surcaj ICPT sebanyak 1.35 sen setiap kWj, menjadi jumlah kenaikan tarif bersih untuk pengguna bukan domestik adalah sebanyak 2.87sen setiap kWj
Pengguna domestik melebihi 300 kWj tidak lagi menerima rebat 1.52sen setiap kWj dan akan membayar tarif bersih yang lebih tinggi

Bagi pengguna bukan domestik, kenaikan tarif bersih sebanyak 2.87sen setiap kWj itu adalah bersamaan dengan peningkatan 6.6 peratus tarif asas B (perdagangan bervoltan rendah) yang diguna pakai kebanyakan kedai dan peniaga.

Saya bimbang kenaikan tarif bersih yang diumumkan ini akan menyebabkan peniaga-peniaga menggunakan alasan ini untuk tidak menurunkan harga barang walaupun Pakatan Harapan telah menunaikan janji untuk menghapuskan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Sebab itu, tempoh masa antara Julai 2018 hingga akhir Disember 2018 adalah cukup penting untuk mengelakkan sebarang kenaikan tarif baru yang ditetapkan oleh kerajaan Persekutuan, untuk meneliti reaksi peniaga dan industri kepada langkah-langkah menstabilkan harga barang yang telah dan akan dilaksanakan kerajaan persekutuan.

Sekiranya GST dihapuskan dan kenaikan harga minyak mingguan dihapuskan; tetapi pada masa yang sama tarif bersih elektrik naik; peniaga dan industri akan menggunakan alasan ini (serta pengenalan SST bermula September ini) untuk tidak menurunkan harga barang kerana mengambil sikap “tunggu dan lihat”.

Ia juga akan melunturkan keyakinan rakyat terbanyak kepada kesungguhan dan keikhlasan Pakatan Harapan untuk mencari jalan terbaik membantu rakyat terbanyak yang menukar kerajaan persekutuan dengan harapan ia akan mengelakkan kenaikan harga barang yang tidak wajar.

Saya juga telah menjalankan simulasi harga elektrik sebelum penghapusan GST dan pelarasan ICPT; untuk dibandingkan dengan kesan penghapusan GST dan pelarasan ICPT ke atas harga elektrik, seperti yang saya tunjukkan di dalam lampiran.

Berikut adalah perkara-perkara penting yang saya boleh simpulkan:

Seperti juga kesan pelarasan ICPT ini kepada kadar elektrik pengguna bukan domestik (yang menghapuskan terus kesan memansuhkan GST sebanyak 6 peratus itu), keputusan terkini pelarasan ICPT akan melunturkan kesan penghapusan GST ke atas isi rumah sebanyak 50 peratus.

Bagi pengguna yang bil bulanan adalah bawah RM72.61 sebulan, golongan ini langsung tidak terkesan dari keputusan memansuhkan GST dan pelarasan ICPT.

Bagi pengguna yang bil bulanan adalah lebih tinggi dari RM72.61, penjimatan akibat pemansuhan GST akhirnya berkurangan sehingga 50 peratus apabila pelarasan ICPT menyebabkan rebat 1.52sen setiap kWj itu dihapuskan berkuatkuasa bermula 1 Julai 2018.

Sebab itu, saya memohon supaya kerajaan persekutuan mengkaji semula keputusan menaikkan tarif bersih elektrik akibat pelarasan ICPT, untuk mengelakkan kenaikan ini “membunuh” segala kesan baik dari langkah-langkah lain untuk menurunkan harga barang seperti GST dan mengelakkan kenaikan mingguan harga minyak.

Saya percaya kerajaan persekutuan boleh mempertimbangkan untuk menangguhkan pelarasan ini hingga ke tahun 2019 untuk membolehkan kerajaan mengkaji dahulu tindak balas peniaga dan industri kepada langkah-langkah kerajaan untuk menurunkan harga barang.

Untuk berlaku adil kepada Tenaga Nasional Berhad yang menanggung kos bahan api yang lebih tinggi, saya mencadangkan kerajaan persekutuan berunding untuk mencari jalan berikut:

  • Memberi keutamaan kepada TNB untuk mendapatkan kerja-kerja penjanaan elektrik baru yang ditetapkan kerajaan supaya TNB tidak terlalu terikat kepada perjanjian jual beli elektrik dari penjana bebas; dan
  • Mengkaji semula sebarang perjanjian jual beli elektrik antara TNB dan penjana bebas yang merugikan TNB.

“Saya akan membawa cadangan menangguhkan kenaikan tarif bersih elektrik ini ke mesyuarat Biro Politik PKR malam ini agar perkara ini disuarakan oleh wakil-wakil PKR dalam jemaah menteri,” katanya.

Suruhanjaya Tenaga dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan, kerajaan memutuskan supaya peningkatan kos sebanyak 1.35 sen setiap kWj dilepaskan dalam bentuk surcaj ICPT kepada semua pengguna bukan domestik di seluruh Semenanjung Malaysia bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember 2018.

Reply