no comments

Kantoi Lantik SUA Gay Dalam KBS, Ini Alasan Yang Diberikan Syed Saddiq

Selepas dikesan oleh netizen, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendakwa laman web rasmi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mungkin disabotaj pihak tidak bertanggungjawab.

Susulan itu, beliau sudah memaklumkan perkara berkenaan kepada Ketua Setiausaha KBS, Datuk Lokman Hakim Ali, supaya tindakan susulan dapat diambil.

Katanya, nama Setiausaha Akhbar (SUA) yang tertera di laman web rasmi itu adalah tidak benar kerana sehingga kini, beliau tidak pernah melantik mana-mana individu menjawat jawatan berkenaan.

“Sehingga kini tiada sebarang lantikan dibuat dan kini kami sedang memuktamadkan calon sesuai untuk jawatan terbabit.

“(Nama yang tertera dalam laman web rasmi kementerian) Numan Afifi ialah kawan saya dan dia banyak membantu mengenai media dari awal sehingga berada di posisi sekarang.

“Dia mengambil keputusan untuk tidak meneruskan perkhidmatannya sehingga SUA dilantik secara rasmi,” katanya kepada media di kementeriannya, hari ini.

Terdahulu, pengamal media berkumpul di hadapan bangunan KBS sejak jam 7.30 pagi selepas dimaklumkan terdapat perhimpunan aman sebagai tanda bantahan kepada Syed Saddiq kerana didakwa melantik pegawai khas daripada golongan gay.

Bagaimanapun, sehingga jam 11 pagi, tiada seorang anggota kumpulan bantahan itu berada di hadapan bangunan KBS.

Bagaimanapun, pegawai akhbar sementara Menteri Belia dan Sukan, Numan Afifi itu mengambil keputusan meletak jawatan daripada tugas berkenaan.

Numan berkata, mustahil untuknya menjalankan amanah diberi kerana mendapat kecaman dan ancaman daripada netizen dan atas sebab itu, mengambil keputusan untuk berhenti.

Saya akan ke luar negara dalam masa terdekat untuk menentukan apa hala tuju saya selepas ini.

“Saya berhasrat untuk mengulang dan menegaskan kenyataan YB Menteri bahawa setakat ini belum ada sebarang perlantikan rasmi di Pejabat Menteri.

“Menjawab mengenai isu beberapa nama yang tertera di laman web rasmi Kementerian, saya dimaklumkan terdapat unsur-unsur sabotaj dan siasatan dalam sedang dijalankan,” katanya.

Pada masa sama, Numan berharap hidup bermasyarakat di Malaysia yang meraikan kepelbagaian tanpa prejudis dapat diamalkan dan menghargai segala sokongan yang diberikan kepadanya.

Susulan itu, Syed Saddiq berkata, “segala khidmat kamu sebelum ini tidak ternilai sejak hari berkempen. Moga sentiasa tabah dan saya sentiasa menghormati keputusan. Kamu akan sentiasa jadi bro saya.”

Numan merupakan pentadbir bagi kumpulan WhatsApp untuk menyelaraskan jadual kerja Syed Saddiq dan pihak media selepas anggota parlimen Muar itu memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Sebelum ini, pelantikan Numan turut dikritik hebat kerana Numan yang juga Presiden Kempen Pelangi pernah menjadi tumpuan media kerana menganjurkan program ‘Iftar Gay‘ pada Jun 2017.

Program itu dikecam pelbagai pihak kerana penganjur didakwa seolah-olah mempermainkan hukum Allah.

Reply