no comments

Fitnah Agong: Kadir Jasin Letak Jawatan Sebagai Penasihat Kerajaan

Berikutan isu kritikan dan fitnah terhadap YDP Agong, yang membelenggu dirinya, Datuk Abdul Kadir Jasin hari ini telah membuat keputusan untuk meletakkan jawatannya sebagai Ketua Media dan Komunikasi Majlis Penasihat Kerajaan.

Peletakan jawatan itu berkuat kuasa serta-merta. Beliau yang sebelum ini pernah menjadi ketua pengarang kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd berkata langkah yang diambil itu dibuat bagi mengelak kekeliruan di kalangan masyarakat.

“Ini adalah semata-mata keputusan saya demi mengelak kekeliruan di kalangan anggota masyarakat berkaitan peranan saya dalam Majlis Penasihat Kerajaan, serta pandangan saya di dalam blog serta kolum mingguan di akhbar Sinar Harian,” katanya.

Menurut Kadir, walaupun bertugas sebagai ketua media dan komunikasi kepada majlis yang ditubuhkan kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) tulisan beliau di blognya bersifat pandangan peribadi.

“Segala pendapat yang saya zahirkan di dalamnya adalah pendapat saya semata-mata.

“Saya menulis atas kapasiti sebagai seorang bloger dan tiada kaitan dengan sebarang jawatan yang mungkin saya pegang,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Kadir ada wartawan dan pihak lain yang memetik pandangan itu dan mengaitkannya dengan kedudukan beliau sebagai Ketua Media dan Komunikasi Majlis Penasihat Kerajaan.

Bagi mengelak kesipuan kepada majlis itu serta dan percanggahan kepentingan di pihaknya, Kadir berkata, beliau mengundurkan diri.

“Hal ini telah dipersetujui oleh Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin.

“Saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Daim atas kepercayaan dan keyakinan mereka kepada saya,” katanya.

Pada 4 Jun lalu satu hantaran dalam blognya dipertikaikan apabila beliau menyentuh mengenai dana yang didakwa digunakan kerajaan bagi membiayai keperluan Yang di-Pertuan Agong.

Dalam artikel di blognya itu, Kadir mempersoalkan usaha untuk meyakinkan raja Melayu mengenai status mereka.

Selain daripada itu, Kadir dalam catatan blog peribadi semalam turut mendakwa kira-kira RM257 juta digunakan untuk perbelanjaan hidup dan peribadi Sultan Muhammad V dalam tempoh 16 bulan sejak dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Beliau mendakwa secara purata RM16 juta sebulan dibelanjakan antaranya ke atas penginapan, kediaman, barangan peribadi, pesawat, pengangkutan, pakaian, hadiah dan cenderamata, kunjungan luar negara.

Pandangan itu menarik perhatian ramai, termasuk Ketua Umum Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Bagaimanapun Kadir menasihati Anwar supaya mendapatkan maklumat sahih daripada tulisan asal dan bukannya berdasarkan laporan pihak ketiga.

Polis juga kemudian membuka kertas siasatan ke atas Kadir dan menyiasatnya mengikut Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia serta Seksyen 500 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan berkaitan memfitnah.

Reply