no comments

Sampai RM49.5 Juta Duit Kerajaan Diseleweng Bekas Perisik

Sejumlah RM49.5 juta wang milik kerajaan disyaki diselewengkan susulan siasatan selepas menahan pegawai dan bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, sehingga kini pihaknya sudah merampas sejumlah RM35.4 juta dalam bentuk wang tunai RM950,000 dan AS$6.3 juta (RM25.9 juta).

“Wang itu ditemukan di beberapa lokasi termasuk sebuah kondominium di Cyberjaya, pejabat orang tertentu dalam kes ini dan juga pembongkaran di pejabat Jabatan Perdana Menteri.

“Kita masih mencari baki wang berjumlah kira-kira RM20.6 juta (AS$5 juta) kerana dipercayai jumlah keseluruhan wang diseleweng adalah AS$12 juta (RM49.5 juta),” katanya pada sidang media berhubung kes berkenaan hari ini.

Beliau berkata, susulan penahanan bekas ketua pengarah dan tujuh pegawai di MEIO, pihaknya turut menahan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk berusia 47 di Kelantan pada jam 11 malam tadi bagi membantu siasatan berkaitan penyelewengan dana kerajaan ini.

“Mahkamah Majistret di Putrajaya, hari ini sudah mengeluarkan perintah reman tujuh hari terhadap ahli perniagaan ini.

“Ahli perniagaan ini adalah rakyat Malaysia namun dia juga mempunyai pemastautin tetap di United Kingdom,” katanya.

Mengulas mengenai perkembangan terkini berhubung siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Azam berkata, setakat ini ia sudah 60 peratus lengkap.

Baki 40 peratus, ujarnya lagi, agak rumit kerana ia melibatkan bahan bukti dan keterangan yang perlu diambil dari negara luar.

Menurut New Straits Times, wang AS$12 juta itu dibawa masuk dalam bentuk tunai melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekitar pertengahan April, 2018 didakwa bagi kegunaan pilihan raya umum ke-14.

Laporan itu menjelaskan para penyiasat masih menjejaki aliran wang itu tetapi mempunyai asas untuk yakin wang itu berkait dengan 1MDB.

Hasanah, ditangkap pada petang Selasa lalu selepas SPRM menahan reman bekas timbalannya dan enam kakitangan pentadbiran dan pegawai tadbir diplomatik (PTD) mengenai kehilangan dana pilihan raya.

Menjelang PRU14, Hasanah juga telah menulis kepada Agensi Perisikan Pusat AS (CIA) yang menggesa Amerika Syarikat untuk menyokong pentadbiran perdana menteri waktu itu, Datuk Seri Najib Razak dalam keadaan BN hanya mendapat kemenangan tipis dalam pilihan raya umum.

Pihak SPRM juga masih mencari kira-kira AS$5 juta, yang dianggap sebagai hak milik kerajaan persekutuan. Azam berkata siasatan SPRM mendedahkan sejumlah AS$12 juta telah dibawa masuk ke dalam negara kira-kira tiga bulan yang lalu, tetapi pihaknya masih belum menentukan tujuan membawa wang itu.

Beliau juga menggesa sesiapa, termasuk penjawat awam, yang mempunyai maklumat mengenai kes ini atau tahu tempat wang tunai tersebut disimpan untuk tampil ke hadapan dan SPRM berjanji akan meletakkan mereka di bawah perlindungan saksi. Ini termasuk mereka yang mungkin menyimpan wang tersebut, katanya.

Reply