Ramai Yang Dah Lupa… Sebenarnya Najib Pernah Janji Nak Bagi Duit BR1M RM600 Untuk Orang Bujang
Tiap kali menjelang Pilihan Raya Umum (PRU), semua parti-parti yang bertanding akan menabur janji-janji manis buat rakyat untuk menambat hati penggundi. Dalam manifesto Barisan Nasional (BN) pada PRU ke-13 yang lepas, BN berjanji untuk menambah nilai insentif Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sehingga RM1,200 untuk isi rumah dan RM600 untuk golongan bujang dalam masa lima tahun. Manifesto BN itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Stadium Putra Bukit Jalil, pada tahun 2013.
BN janji nak tingkatkan bantuan BR1M, baucer buku dan bantuan sekolah.
Sedia maklum, BR1M adalah bantuan kerajaan yang diberikan kepada rakyat yang berpendapatan rendah untuk mengurangkan beban kos sara hidup. BR1M ada tiga kategori – bujang, keluarga bergaji RM3,000 ke bawah dan keluarga bergaji diantara RM3,001 – RM4,000. Pada tahun 2013, mereka janji untuk tingkatkan jumlah pemberian kepada RM1,200 untuk pendapatan isi rumah dan RM600 untuk bujang.
“Pemberian BR1M mula diperkenalkan pada tahun 2012. Ia akan memanfaatkan 4.7 juta isi rumah dan 2.7 juta individu bujang dari seluruh Malaysia.” – Dipetik dari website 1Malaysia
Lima tahun sudah berlalu, Barisan Nasional sudah tunaikan janji mereka, iaitu RM1,200 seorang untuk (isi rumah) keluarga yang layak, namun mereka cuma bagi RM450 untuk golongan bujang. Tak selari seperti yang dijanjikan dalam manifesto PRU lepas, iaitu RM600, kurang RM150 untuk kategori individu bujang.
Sebenarnya banyak lagi janji-janji mereka yang masih tak dicapai, antaranya mereka pernah janji akan bagi RM300 untuk baucer buku. Bagaimanapun, baucer buku itu sudah ditukarkan kepada Kad Diskaun 1 Malaysia (KADS1M). Fungsi KADS1M ini seperti kad debit, pelajar boleh keluarkan duit secara tunai. Asalnya BN janji mahu beri RM300, tapi kurang RM50 dari jumlah yang dijanji.
Bantuan sekolah juga sama, pelajar hanya dapat RM100 daripada RM150 yang dijanjikan.
Selain itu, BN juga berjanji untuk menurunkan harga rumah bagi memastikan rakyat dapat memiliki rumah sendiri. Namun, harga rumah semakin hari semakin melambung tingginya. Mereka turut berjanji menurunkan harga kenderaan sehingga 30% menjelang 2018. Janji hanya tinggal janji.. di Malaysia ini tiada apa yang turun selain hujan.
–Soscili,Utusan