no comments

Wang Ikat Jamin Najib Sebanyak RM3.5 Juta!

Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Azura Alwi menetapkan ikat jamin terhadap bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak sebanyak RM3.5 juta berhubung 25 pertuduhan yang dihadapinya.

Hakim Azura juga mengarahkan wang ikat jamin itu mesti dibayar secara penuh pada 28 Sept.

Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberi jaminan sebanyak RM1 juta akan dibayar esok, manakala RM500,000 akan dibayar setiap hari sehingga tarikh itu.

Dua individu dinamakan sebagai penjamin iaitu Mohd Nizar Najib dan Mohd Shahrir Arifin.

Keputusan ini bermakna Najib terlepas daripada bermalam di penjara pada malam ini.

Terdahulu, Shafee mencadangkan ikat jamin sebanyak RM500,000 diberikan dengan dua penjamin.

Bagaimanapun, pendakwaan yang diketuai bekas Hakim Mahkamah persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram membantah jumlah itu dengan mengatakan kesemua pertuduhan terhadap Najib membabitkan jumlah RM2.28 bilion.

Beliau berkata kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 merupakan suatu kesalahan serius.

Najib hari ini menghadapi 25 pertuduhan berkaitan kemasukan RM2.6 billion ke akaun peribadi beliau membabitkan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Beliau menghadapi empat pertuduhan mengikut Seksyen 23 (1) dan 24 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan 21 pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1) (a) – Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA).

Najib mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas kesemua pertuduhan.

Mahkamah menetapkan 16 Nov bagi sebutan kes.

Bercakap kepada pemberita di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Najib mengalu-alukan perbicaraan terhadapnya berhubung dana RM2.6 bilion dan menyifatkannya sebagai peluang untuk membersihkan namanya.

Beliau berharap perbicaraan itu akan menunjukkan “kedaulatan undang-undang memang wujud di negara ini”.

“Saya tidak mahu buat apa-apa kenyataan yang boleh dianggap sebagai subjudice kepada kes ini. Tetapi tentulah pasukan pembela ada fakta-fakta yang memihak kepada kita.

“Dan kami yakin, apa yang kami harap, ialah keputusan (perbicaraan) akan dapat menunjukkan kedaulatan undang-undang wujud di negara ini,” katanya lagi.

Ketika ditanya sama ada pendakwaan yang dibuat ke atasnya hari ini bertujuan menjatuhkannya, Najib berkata beliau tidak mahu membuat sebarang dakwaan.

Reply