no comments

“Saya Ulangi! Hutang Negara Hanya RM686 Billion, Bukan RM1 Trillion” – Najib

Datuk Seri Najib Razak, bertegas dan sekali lagi mengulangi bahawa jumlah sebenar hutang negara berada pada purata 50.8 peratus seperti mana diisytihar oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Bekas perdana menteri itu berkata, kerajaan terdahulu sentiasa merujuk kepada badan penarafan antarabangsa mengenai hutang negara dan konsisten dengan apa juga perangkaan dikeluarkan.

“Hutang kita (negara) berada pada paras 50.8 peratus atau RM686 billion daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Sekarang Moody (Moody’s Investors Service) mengesahkan semula bahawa asas pengiraan kami sebelum ini, jadi jika terdapat sebarang pertikaian maka ia harus dirujuk kepada agensi penarafan antarabangsa itu.

“Mereka (agensi penarafan antarabangsa) adalah pihak yang memberi dan memutuskan setiap rating penarafan kepada kita (kerajaan terdahulu), kami tidak boleh menggunakan sebarang istilah lain kerana ia harus konsisten, malah kita sentiasa konsisten sejak dahulu lagi,” katanya kepada pemberita di Dataran Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Kuala Pahang, hari ini.

Najib sebagai mengulas kenyataan yang dikeluarkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang memaklumkan hutang negara kini mencecah RM1 trillion atau 80.3 peratus daripada KDNK.

Semalam, agensi penarafan antarabangsa itu mengeluarkan perangkaan mengekalkan anggaran hutang negara pada kadar 50.8 peratus daripada KDNK pada tahun 2017.

Ditanya sekiranya syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah punca kepada perangkaan hutang yang dikeluarkan Guan Eng, Najib menyangkal dakwaan itu dan menyatakan ia bukan daripada pengiraan hutang negara kerana sebahagian besar projek masih berdaya maju.

“Projek dan aset serta pinjaman dijamin oleh kerajaan. Projek ini adalah projek yang berdaya maju dan ia hanya akan menjadi liabiliti kepada kerajaan jika ada masalah,” katanya.

Semalam, Guan Eng menafikan dakwaan Najib kononnya kerajaan cuba mengelirukan rakyat dengan memainkan isu hutang negara yang mencecah RM1 trillion, sebaliknya kerajaan hari ini perlu menanggung hutang yang dijamin oleh pentadbiran terdahulu.

Katanya, 1MDB yang kini diisytiharkan bankrap tidak mampu untuk menjelaskan hutangnya dan kerajaan terpaksa menanggung beban hutang itu.

“Najib sepatutnya menganggap 1MDB sebagai salah satu hutang terbesar tetapi mengapakah Najib terus bersembunyi di belakang definisi hutang itu?

“Najib bukan sahaja menipu rakyat tetapi menipu diri sendiri.”

Guan Eng berkata, kerajaan memutuskan untuk mengklasifikasikan liabiliti kongenital dan jaminan kerajaan sebagai hutang langsung kerana ketidakupayaan pihak terlibat untuk menyalurkan hutang yang perlu ditanggung oleh kerajaan.

Reply