no comments

Gabenor Baru: ‘Calonnya Dah Ada, Tapi Perlu Perkenan Agong Dulu’

Calon gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) baharu yang akan menggantikan Tan Sri Muhammad Ibrahim sudah dikenal pasti, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bercakap pada dialog dengan wartawan di Japan National Press Club, hari ini, perdana menteri berkata, pelantikan itu akan dibuat tidak lama lagi.

“Walaupun, kami telah mengenal pasti orang (berkenaan), kami tidak boleh menamakan orang itu sehingga kami mendapat perkenan Baginda (Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V).

“Sehingga itu, kami tidak dapat mengumumkan nama,” kata Dr Mahathir menjawab pertanyaan mengenai perkara itu.

Kerajaan dilaporkan menerima peletakan jawatan Muhammad sebagai gabenor BNM berkuat kuasa 6 Jun lalu.

Muhammad memegang jawatan gabenor BNM pada 1 Mei, 2016, menggantikan Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz. Beliau adalah gabenor kelapan BNM.

Dilaporkan bahawa BNM terlibat dalam kontroversi berhubung pembelian tanah bernilai RM2 bilion yang dikatakan mempunyai kaitan dengan kegagalan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Tun M juga ditanya mengenai kemungkinan krisis ekonomi melanda Malaysia disebabkan tahap hutang yang besar.

Malaysia, katanya, bernasib baik kerana mempunyai simpanan besar seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), sebagai contoh, dan banyak lagi institusi lain yang telah menyimpan wang yang agak banyak.

“Jadi, itu boleh menjadi sokongan dalam usaha kami untuk memulihkan ekonomi, ” kata perdana menteri.

Beliau menjelaskan bahawa Malaysia mempunyai pengalaman tertentu dalam menangani masalah kewangan, seperti yang berlaku pada tahun 1997, yang mana ia berjaya keluar daripada krisis itu.

“Kami berasa bahawa kami tahu sesuatu tentang perkara kewangan negara yang akan membolehkan kami untuk pulih dan memperoleh semula kekuatan kewangan kami seperti sebelum ini.

Saya tidak fikir di bawah pentadbiran kerajaan ini, negara akan terjerumus dalam kebankrapan,” katanya.

Reply