“Saya Tak Tahu Dari Mana Datangnya Duit Beli Barang Kemas Rosmah” – Najib
“Saya tak tahu dari mana sebenarnya sumber untuk mendanai semua ini,” kata bekas perdana menteri itu dalam satu temu bual ekslusif bersama Reuters.
Datuk Seri Najib Razak memberitahu beliau tidak tahu dari mana dana diperolehi untuk membiayai pembelian barangan kemas isterinya Rosmah Mansor.
Sebelum itu Najib ditanya mengenai barang kemas – termasuk set berlian merah jambu bernilai AS$27.3 juta – diyakini pihak berkuasa AS dibeli Jho Low menggunakan dana 1MDB dan diberikan kepada Rosmah.
Najib juga menjelaskan bagaimana Rosmah memberitahunya bahawa beliau tidak menerima hadiah barang kemas yang dijanjikan kepadanya.
“Apa yang saya tahu ialah, apabila saya bertanya kepada isteri saya, dia berkata misalnya dia sepatutnya mendapat satu hadiah tetapi dia tidak pernah menerimanya,” kata Najib dipetik Reuters.
Najib memberitahu Reuters, sumber dana itu sedang disiasat namun beliau enggan memberikan penjelasan lebih lanjut.
Bagaimanapun, kumpulan penyiasat percaya, Najib dan isterinya, mengumpul banyak kekayaan dan harta dengan menggunakan dana dari kerajaan.
Hampir 300 kotak beg berjenama dan puluhan beg lain yang dipenuhi dengan wang tunai dan barang kemas antara barangan dirampas oleh polis dalam serbuan dibeberapa kediaman bekas perdana menteri itu termasuk beg berjenama Hermes Birkin masing-masing mencecah nilai ratusan ribu dolar.
Najib berkata, rampasan itu menimbulkan persepsi negatif tetapi kebanyakkannya adalah hadiah diberikan untuk isteri dan anak perempuannya dan tiada kaitan dengan 1MDB.
“Ya, ini adalah hadiah, terutamanya kepada anak perempuan saya, kebanyakkanya adalah hadiah ketika perkahwinannya .
Najib berkata, menantunya Daniyar Nazarbayev, yang merupakan anak saudara Presiden Kazakstan Nursultan Nazarbayev, juga memberikan banyak hadiah kepada Rosmah.
“Orang mungkin sukar difahami, tetapi menantu saya misalnya, dia mendapat Birkin dari sumbernya sendiri, jadi ia tiada kaitan dengan 1MDB,” katanya.
Beliau juga berkata, RM114 juta yang ditemui di rumah adalah dana parti milik Umno di mana beliau menjadi Presiden sehingga beliau meletak jawatan selepas kekalahan BN pada PRU14 lalu.
Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) sebelum ini telah menuntut tindakan undang-undang melibatkan aset kira-kira AS$1.7 bilion yang dipercayai dicuri dari 1MDB.
Beberapa aset lain yang masih dicari termasuk lukisan Picasso, hartanah mewah di California Selatan dan New York, saham dalam syarikat pengeluaran perfileman Hollywood, kapal layar AS$265 juta, lebih daripada AS$200 juta barang kemas termasuk 22 karat berlian merah jambu dan kalung.
Najib berkata, set barang kemas itu adalah hadiah untuk isterinya tetapi beliau tidak pernah menerimanya.
“Dan sehingga hari ini saya tidak tahu … dia mengatakan item itu tidak berada dalam simpanannya,” katanya.